Wednesday, March 21, 2012

haram kerjasama yahudi

Haram adakan kerjasama dengan Yahudi - Harussani

KUALA LUMPUR 19 Mac - Sebarang bentuk kerjasama dengan Yahudi di Israel adalah haram di sisi agama Islam walaupun sebahagian mereka tidak berfahaman Zionis.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hakikat itu jelas jika dikaitkan dengan kekejaman kaum Yahudi terhadap umat Islam di Palestin.

''Kedudukan orang Yahudi pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu berbeza kerana mereka dikategorikan sebagai kafir zimmi yang bersetuju untuk berlindung di bawah naungan kerajaan Islam.

''Namun, Yahudi di Israel dewasa ini adalah kafir harbi yang wajib diperangi kerana golongan tersebut memusuhi umat Islam dan menjajah sebuah negara Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pendirian parti berkenaan menyokong mana-mana pihak termasuk umat Islam mengadakan hubungan dan kerjasama dengan kelompok Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.

Menurut Abdul Hadi, pendirian itu selaras dengan prinsip yang dipegang Pas mengenai kerjasama dengan orang bukan Islam dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, kerjasama dengan Yahudi boleh membawa kemudaratan kepada agama Islam.

Beliau memberitahu, seperti yang termaktub dalam al-Quran, kaum Yahudi tidak akan berdiam diri selagi umat Islam enggan mengikut ajaran agama mereka.

''Justeru, kita sepatutnya jangan terpedaya dengan helah licik kelompok Yahudi yang mendakwa tidak memegang ideologi Zionis kerana ini sebenarnya permainan mereka untuk mengaburi mata umat Islam.

''Kita tidak sewajarnya menerima apa sahaja yang datang dari orang Yahudi kerana mereka mempunyai agenda untuk merosakkan umat Islam secara terancang," ujarnya.

Fathul Bari berkata, umat Islam sepatutnya bersikap lebih berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk Yahudi kerana banyak peringatan tentang sifat-sifat buruk golongan berkenaan telah difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran.

No comments:

Post a Comment