Terengganu batal pinjaman 6 pelajar sertai demo Bersih, Auku
18 Mac 2012
Keenam-enam pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi, rentetan usaha untuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih 2.0 yang menimbulkan kontroversi di dalam negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan untuk menarik balik tajaan ke atas pelajar berkenaan diteliti selepas mengambil kira kesahihan penglibatan mereka yang secara jelas telah melanggar peraturan.
“Kita hantar mereka (pelajar) ke Mesir untuk menuntut ilmu tetapi apa yang mereka lakukan adalah pergi berdemostrasi, berpolitik dan situasi ini tidak seharusnya berlaku.
“Malah, daripada surat rayuan yang dihantar kepada kita (Kerajaan Negeri) jelas jawapan yang mereka berikan tidak meyakinkan kerana kita telah kenal pasti melalui blog-blog dan Internet jelas muka mereka yang terpampang dengan memakai baju bersih dan membawa bendera Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik selesai menyempurnakan Penyerahan e-Book Tahun Empat Dun Wakaf Mempelam 2012 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, di sini, hari ini.
Jelas Ahmad lagi, beliau nyata kecewa dengan tindakan segelintir pelajar yang terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu hingga akhirnya merugikan diri sendiri kerana tidak berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
“Bila kita tanya mereka kata ada orang yang suruh pergi dan memakai baju itu (Bersih) dan ada antara mereka adalah pelajar tahun tiga yang mengambil kursus perubatan di universiti di sana (Mesir).
“Mereka tidak sedar kerajaan membelanjakan wang yang cukup besar untuk membiayai pembelajaran mereka supaya berjaya menamatkan pengajian dan mampu memberikan sumbangan kepada negara, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.
Justeru katanya, tindakan tegas yang diambil kerajaan ke atas enam pelajar berkenaan seharusnya memberi pengajaran yang berguna kepada pelajar-pelajar lain agar tidak sesekali terlibat aktiviti yang boleh menjejaskan masa depan mereka nanti.
No comments:
Post a Comment