Monday, March 5, 2012

ramalan daim

Mesej tersirat ramalan politik Daim
G MANIMARAN & NOOR AZURA SAHRIL
5 Mac 2012
 Tun Daim
ANALISIS - Beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) Tun Daim Zainuddin, yang lazimnya digambarkan sebagai pemimpin politik-ekonomi yang suka 'berdiam diri', meramalkan keputusan yang bakal disaksikan. Ramai tidak percaya ketika itu.

Tsunami politik melanda pada 8 Mac 2008. Sebahagian besar ramalannya menjadi.

Sekali lagi, ketika spekulasi mengatakan PRU13 akan diadakan dalam beberapa bulan lagi, Daim, bekas Menteri Kewangan dan bekas Bendahari Umno ini, menyuarakan pandangan beliau. Ramai kelihatan sudah mula menerima pandangan beliau.

Empat tahun lalu pandangan beliau lebih menjurus kepada masa depan Barisan Nasional (BN). Ketika itu BN dilihat sebagai satu-satunya perikatan formal yang ada ketika itu. Sebaliknya, PRU13 menyaksikan kewujudkan perikatan tidak formal - Pakatan Rakyat (PR).

Dalam satu wawancara dengan akhbar tempatan, Daim memberi pandangan mengenai senario semasa dengan menyentuh kelebihan dan kekurangan di kedua-dua pihak BN dan PR.

Seiring dengan pandangan Daim itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak melihat BN mampu mencapai kemenangan lebih besar dalam PRU13 berbanding tsunami politik 2008.

Menurutnya, dengan menilai indikator yang ada kini, situasinya tidak sama sebelum tsunami politik 2008. 

Katanya, dua perkara ketika itu yang mempengaruhi tsunami 2008 adalah masalah dalaman dihadapi BN dan juga situasi ekonomi negara yang tidak mengizinkan telah membebankan rakyat ketika itu perlu diambil kira.

“Kini selepas tsunami 2008, petunjuknya sudah mulai berubah melalui transformasi kepimpinan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keadaan ekonomi semakin kukuh, memberi kelebihan dan petunjuk terbaik menunjukkan Najib, seorang pemimpin yang dinamik dan mempunyai keyakinan yang tinggi,” katanya.

Justeru, Mustafa berkata atas faktor itu, rakyat akan kembali memberi sokongan kepada BN dan menghulur peluang kepada Najib sebagai Perdana Menteri yang pertama kalinya menghadapi pilihan raya umum.

Kini selepas hampir 35 bulan menerajui tonggak utama negara, peranan dan ‘faktor Najib’ berjaya memberi satu harapan baru dan suntikan pembaharuan politik untuk BN dan juga negara.

Sikap keterbukaannya yang bertekad mahu membela nasib semua bangsa berjaya meletakkan kepemimpinan Najib semakin disenangi, dihargai dan diterima.

Katanya, faktor pergolakan dalaman Pakatan Rakyat (PR) dan kegagalan pentadbiran di negeri-negeri yang di menangani Pakatan pada PRU lalu, juga melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap BN.

“PR kini berdepan dengan pelbagai masalah di negeri-negeri yang dimenangi mereka pada PRU lalu selain masalah kepimpinan dalam parti komponen mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian sambil menggambarkan pandangan diutarakan oleh Daim lebih berbentuk "nasihat-nasihat yang bersyarat" sebenarnya terpakai kepada kedua-dua PR dan BN.

"Saya rasa ia akan berguna untuk semua," kata beliau yang turut menyifatkan Daim memberikan pandangan secara berhati-hati agar tidak menyinggung pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno.

"Tun Daim banyak menggunakan kata dan ayat-ayat berlapik kali ini berbanding empat tahun lalu," katanya lagi.

"Saya melihat Tun Daim hendak memberitahu bahawa BN akan mendapat manfaat jika ikut segala apa yang beliau senaraikan. PR pula tidak boleh terlalu yakin mereka ada kelebihan, dan pada masa yang sama tidak boleh memandang rendah kelemahan-kelemahan pihak lawan mereka," kata Ibrahim merujuk kepada sasaran matlamat mahu menuju ke Putrajaya.

Ibrahim setuju dengan kelebihan 'faktor Najib' yang dilihat ramai sebagai poin yang boleh memanfaatkan BN.

Bagaimanapun tegas beliau, 'faktor Najib' boleh membawa kelebihan kepada BN, tetapi ia bukan formula utama yang akan membawa besar perikatan.

"Akhirnya, kemenangan akan ditentukan oleh banyak faktor, tidak semestinya hanya faktor Najib semata-mata," kata Ibrahim lagi.

Daim yakin BN mempunyai potensi besar kemenangan dalam PRU13.

Sehubungan itu kata Mohamed Mustafa, pada PRU13 ini, sukar bagi PR untuk mendabik dada bahawa mereka akan  mendapat kemenangan mudah, khususnya setelah pelbagai transformasi menyeluruh Najib yang dijangka mempengaruhi pengundi tradisi Melayu, Cina dan atas pagar untuk beralih kepada BN.

Justeru, katanya tidak wajar merendahkan kemampuan rakyat untuk mereka menilai sendiri kepimpinan BN atau PR yang lebih baik dalam menjamin kestabilan sosial, ekonomi dan keselamatan rakyat.

Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia menekankan bahawa kebijaksanaan menangani pelbagai isu khususnya ketika PRU hampir menjelang, akan mempengaruhi pola pengundian rakyat.

Beliau yang juga Ahli Bersekutu Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara berkata, rakyat sudah mula membuat keputusan sama ada untuk menyokong BN atau PR dengan melihat kaedah dan pendekatan parti komponen itu dalam menangani pelbagai isu.

Mengulas lanjut pandangan Daim, Mohamed Mustafa berkata, adalah sukar untuk berlakunya ‘parlimen tergantung’ seperti yang dikatakan Daim kerana bersandarkan PRU lalu, BN masih kekal membentuk kerajaan meskipun tsunami politik.

Sehubungan itu, beliau berkata BN tidak boleh melakukan kesilapan dalam memastikan pemilihan calon berkaliber  dan jentera parti yang tepat dalam PRU ini.

“Yang pasti rakyat mengharapkan calon yang bersikap jujur, ikhlas, bersih dan berintegriti, boleh mendengar denyutan nadi mereka dipilih dan diangkat sebagai wakil rakyat,” katanya.
“Populariti Najib adalah kelebihan kepada BN, kerana  populariti membantu sokongan rakyat terhadap parti, sekali gus melonjakkan sokongan golongan muda,” katanya.

Daim walaupun seringkali 'diam' dan kelihatan berada jauh daripada arena politi tempatan tetapi pandangan-pandanganya masih berbisa dalam meramalkan keputusan PRU13.
Dalam wawancara terbaru, bekas Ahli Parlimen ini antara lain berkata: "Saya bukanlah seorang yang boleh membuat suatu ramalan dengan tepat."

"Ramalan negeri yang dikaitkan dengan saya menjelang PRU12 telah membuatkan saya menjadi seorang peramal politik.

"Saya ingin membantu mendalami pendebatan politik, untuk mengemudi politik lari daripada isu-isu perkauman dan kebencian. Jadi saya akan memberikan beberapa pandangan," katanya lagi.

Jika pada 1990-an kata-kata Daim menjadi penggerakan pasaran saham, kini menjadi penggerak politik. Sudah pasti mesej tersirat beliau sekali lagi menjadi pertimbangan kepada para pengundi untuk membuat ukuran dan menentukan sokongan mereka.

Pandangan Daim boleh menguntungkan BN dan juga PR jika digunakan dengan sebaik yang mungkin.

No comments:

Post a Comment