Thursday, March 8, 2012

masalah air kelantan

Kelantan 'lepas tangan' isu air

Laporan YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 5 Mac - Pas Kelantan yang semakin terdesak menyelesaikan isu air, akhirnya bertindak 'lepas tangan' apabila mendakwa tanggungjawab bekalan air bersih terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman berkata, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan itu terkandung dalam buku Perlembagaan sebagaimana pembinaan lebuh raya di negeri ini.

"Dalam perlembagaan ini (sambil merujuk buku Perlembagaan) jelas sumber air sebagai nadi kehidupan hak negeri, loji rawatan air, khidmat bekalan kepada pengguna ialah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

"Beberapa kali sudah saya bangkitkan dalam Dewan, dalam muka surat 317 (buku Perlembagaan), bekalan dan perkhidmatan air jelas di bawah tanggungjawab Persekutuan.

"Lalu pelbagai cerita dikeluarkan dalam akhbar contohnya, cuma sepenggal selesai masalah, BN positif mampu atasi masalah air jika dibagi sepenggal (merujuk laporan akhbar). Bukan sepenggal, 54 tahun dah merdeka, bukan sepenggal," katanya menggulung perbahasan titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V peringkat jawatankuasa pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Md. Anizam turut menjelaskan bahawa peruntukan sebanyak RM600 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan adalah pinjaman bagi meningkatkan prasarana bekalan air di Kelantan sejak 2001 dan perlu dibayar oleh kerajaan negeri.

"Kita telah pun membayar pada 2008 sebanyak RM12 juta. Kenyataan seperti ini, (bantuan RM600 juta) diberi percuma mengelirukan rakyat," katanya.

Beliau turut mendakwa, pinjaman itu hanya diluluskan pada 2001 selepas 11 tahun Kelantan dinafikan hak untuk meningkatkan bekalan air.

"Pinjaman itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) sebanyak RM261 juta, RMK-9 (RM160 juta) dan RMK-10 (RM96 juta). Ini bermakna jumlah pinjaman dalam tiga RMK ialah RM547 juta, bukanlah sekali gus sebagaimana yang digambarkan.

"Projek awal disiapkan pada 2003, semua tender projek ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan, tapi yang kena bayar kerajaan negeri," katanya.

Pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan khususnya Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sebelum ini mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera masalah air yang berlarutan sejak sekian lama.

Kemuncak kepada desakan itu ialah perhimpunan aman lebih 3,000 orang di Lembah Sireh pada 25 Februari lalu yang mahu kerajaan Pas menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

No comments:

Post a Comment