Kisah sedih rumah kos rendah Tanjung
Oleh Zulkifli Jalil
MELALUI Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang baru-baru ini yang dulunya Jelutong Expressway (di pesisir pantai yang ditambak) kenangan penulis kembali kepada lapan tahun lalu.
Ketika itu, berblok-blok rumah pangsa dekat situ sedang dibina. Dan menjelang saat penulis meninggalkan Pulau Pinang penghujung 2005, selepas mengetuai biro akhbar ini selama tiga tahun di George Town, unit-unit kediaman itu mula diduduki.
Beberapa penghuninya termasuklah jiran penulis yang menyewa di apartment Batu Uban dan Pantai Jerejak. Mereka rata-rata adalah pekerja kilang elektronik berdekatan dan berpendapatan purata RM1,500 sebulan.
Hari ini memang diakui Pulau Mutiara pesat membangun. Meskipun hampir empat tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah, mahu tidak mahu parti itu dan sekutu-kutunya, PKR dan Pas kenalah akur bahawa kemajuan mencanak negeri itu pada hakikatnya adalah hasil tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.
Guan Eng jangan pula menidakkan fakta bahawa Pulau Pinang maju disebabkan BN.
Betullah pencapaian terbaru Pulau Pinang diisytiharkan bulan lepas telah mengungguli pelaburan sektor pembuatan untuk tahun kedua berturut-turut dengan RM9.1 bilion – melepasi sasaran RM6.1 bilion.
Demikian juga tahun lepas, Pulau Pinang unggul dalam pelaburan sektor pembuatan di Malaysia buat pertama kalinya dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM12.2 bilion.
Kerana itu, memang wajarlah kelmarin Guan Eng yang mewakili kerajaan negeri pakatan pembangkang mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan MIDA atas kerjasama mereka dengan InvestPenang.
Janganlah menafikan jasa-jasa BN itu. Pulau Pinang tidak ada hasil balak, minyak atau apa-apa tetapi segalanya ada di negeri itu – daripada pelbagai jenis makanannya, kemudahan insfrastruktur, masjid dan rumah ibadat sehinggalah pelbagai macam yang diperlukan rakyat negara ini.
Kerana BN, Pulau Pinang diperkenalkan buat pertama kali dengan kilang-kilang elektronik dan menjana peluang pekerjaan dan rezeki buat bukan sahaja penduduk tempatan tetapi penghijrah-penghijrah terutama dari negeri-negeri utara tanah air.
Tetapi dalam tiga empat tahun ini, kepesatan Pulau Pinang tidaklah ‘seindah’ seperti mana terpampang di mata. Ada ‘gelodak’ di bawah alirannya.
Antara yang ketara dan ‘menyakitkan’ ialah soal perumahan untuk golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak ada lagi rumah-rumah pangsa yang sedang dibina seperti dilihat penulis tujuh tahun lepas. Kembali ke bahagian pulau negeri ini, penulis hanya dikhabarkan dengan berita yang mendukacitakan.
Tiada satu unit pun rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina oleh kerajaan negeri DAP dalam tempoh beberapa tahun ini. Pengakuan itu datang daripada Exco Perumahan parti itu sendiri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) awal tahun lepas.
Soalnya, berapakah jumlah rumah kos rendah dan sederhana rendah dibina, kalau tidak pun dalam 2009/2010 oleh kerajaan negeri menggunakan dananya sendiri atau melalui anak syarikat dan jabatan negeri.
Exco Perancangan Desa, Perumahan Dan Kesenian, Wong Hon Wai pernah menjelaskan, sejumlah unit rumah dibina tetapi semuanya oleh syarikat swasta.
Beberapa bulan lepas, Setiausaha BN Pulau Pinang yang juga ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya didatangi sekumpulan 13 orang guru dari sebuah sekolah rendah di Bayan Lepas.
Mereka meminta bantuan ditukarkan ke Kepala Batas di Seberang Perai Utara disebabkan tidak mampu lagi tinggal di Tanjung. Harga rumahnya terlalu mahal. Jalan terdekat ialah tinggal di Sungai Petani, Kedah tetapi mengajar di Kepala Batas.
Dikatakan orang Singapura banyak membeli rumah dan hartanah di negeri itu. Harga rumah mencecah antara RM400,000 hingga RM700,000 sebuah di Balik Pulau sahaja. Bukan sahaja orang Melayu berkeluh-kesah akan hal ini, orang Cina Pulau Pinang pun begitu juga. Mereka pergi mengadu kepada pihak BN. Tetapi apa nak dibuat, kuasa bukan di tangan BN masa ini.
Kenapa harga rumah di Pulau Pinang mahal?
Penulis dimaklumkan ia berpunca daripada kadar premium tanah yang naik berlipat kali ganda. Jika di bawah pentadbiran BN, kadar premium dikira daripada perbezaan tanah yang lama dan baru – kira-kira RM5 sahaja, kini ia mencecah RM15. Hari ini lain kiraan premium – mengambil kira nilai pembangunan yang akan dibina di situ.
Katakan tanah seluas lima ekar. Jika pembangunan yang dirancang menelan nilai RM100 juta, maka kiraan premium kena mengambil kira 30 peratus daripada RM100 juta berkenaan. Ini bermakna kadar premium yang dikenakan adalah 15 peratus daripada nilai RM100 juta itu. Jadi, kadar premium yang perlu dibayar berjuta-juta ringgit. Sebab itu harga rumah mahal di Pulau Pinang.
Hari ini, rakyat yang hendakkan rumah, baik Melayu, Cina dan India terbeban. Ada kalangan mereka terpaksa mencari destinasi baru di Seberang Perai dan negeri berdekatan.
Ya, memang Guan Eng mengumumkan kira-kira 11,000 unit rumah kos rendah bakal dibina di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan tetapi kenapa di Batu Kawan sahaja. Mengapa tidak di bahagian pulau.
Dahulu, Kerajaan Pusat mengawal harga rumah kos rendah semaksimum RM42,000 seunit tetapi mengapa sekarang naik sehingga RM72,000 seunit.
Ini menyebabkan timbul andaian pentadbiran tidak mesra rakyat miskin di Pulau Pinang. Kalau di sekitar Balik Pulau sekarang, kedapatan sudah rumah unit-unit banglo dibina dalam kawasan kampung yang harganya mencecah RM1 juta seunit. Rumah teres tiga tingkat sahaja mencapai RM800,000 seunit. Itu belum lagi teres dua tingkat yang harganya antara RM600,000 dan RM700,000.
Jika hendak dibandingkan pihak yang benar-benar membantu rakyat, orang itu adalah Kerajaan Pusat. Kalau tidak masakan wang RM500 dari skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberikan kepada semua orang yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan tanpa mengambil kira soal kaum, agama, budaya dan lebih penting lagi soal politik.
Tetapi di Pulau Pinang, wang RM100 setahun diperoleh oleh warga emas dan ibu yang bersalin dengan syarat dia atau pasangannya mestilah pengundi berdaftar.
No comments:
Post a Comment