Wednesday, March 21, 2012

hasan jadi tumpuan walau pindah kerusi di belakang

Kehadiran Hasan Ali curi tumpuan

SHAH ALAM 19 Mac – Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali mencuri tumpuan ahli dewan, pengamal media dan para jemputan yang hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kali ini.
Ini merupakan kali pertama bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu hadir sebagai wakil rakyat Bebas selepas beliau digugurkan daripada jawatan itu pada Januari lalu ekoran pemecatannya daripada Pas.
Hasan dipindahkan ke bahagian belakang kawasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) manakala tempat duduknya sebelum ini digantikan oleh seorang lagi Exco kerajaan negeri dari Pas iaitu Ir. Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan ADUN Cempaka.
Ketika ditemui pemberita, Hasan berkata, beliau akan terus membawa perjuangan memartabatkan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) dalam sidang DUN.
Hasan berkata, ini kerana sepanjang pengalamannya berada dalam barisan Exco kerajaan negeri sejak lebih tiga tahun, beliau melihat berlaku kepupusan terhadap perjuangan memartabatkan IMR kerana Kerajaan PKR Selangor tidak serius memperjuangkan ketiga-tiga agenda berkenaan
“Saya akan menggunakan peluang pada sidang DUN kali ini untuk mengetengahkan agenda memartabatkan Islam, Melayu dan Raja-raja di negara ini kerana selama menjadi Exco sebelum ini, saya tidak nampak kerajaan negeri membawa agenda tersebut.
“Saya juga akan mengambil peluang untuk menjelaskan mengenai salah tanggapan orang ramai bahawa Hasan Ali sebagai rasis dan chauvinis,” katanya selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang DUN kali ke-12 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Hasan berkata, beliau juga telah bersedia berhadapan dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang merupakan ‘sekutu’ lamanya, malah tetap yakin dengan kemampuannya sebagai wakil rakyat Bebas.
“Tidak ada sebarang masalah untuk berhadapan dengan mereka (pemimpin Kerajaan PKR Selangor) kerana saya dipecat dari Pas dengan bermaruah bukannya kerana saya terima rasuah atau melakukan kesalahan meliwat.
“Sebaliknya, saya dipecat kerana lantang memperjuangkan IMR yang mungkin kurang disenangi oleh DAP,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja isu yang akan dibangkitkan oleh Hasan pada sidang DUN kali ini kerana menganggap ADUN Gombak Setia itu sebagai wakil kepada rakyat di kawasan berkenaan.
“Peranan persidangan DUN adalah untuk memberi peluang kepada setiap wakil rakyat melontarkan segala pandangan atau masalah di kawasan mereka.
“Maknanya apabila (Hasan) dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil di kawasan mereka, beliau berhak untuk membangkitkan apa sahaja isu,” katanya.

No comments:

Post a Comment