DAP Pulau Pinang tidak adil?
Oleh ZABRY MOHAMAD
utusanpenang@utusan.com.my
NIBONG TEBAL 28 Mac - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa bersikap tidak adil dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini apabila projek yang tidak mampu melonjakkan kualiti hidup penduduk dibina di Seberang Perai.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, bahagian pulau dilihat seperti diberikan keutamaan apabila banyak projek yang 'bagus' dibina di kawasan tersebut.
Sebagai kerajaan memerintah, ujarnya, DAP perlu bersikap adil dan tidak membeza-bezakan kawasan di negeri ini.
"Jangan anak tirikan rakyat di Seberang Perai dan memberi keutamaan di bahagian pulau sahaja.
"Kenapa tidak bina kilang panel solar di Bayan Lepas? Seberang Perai bukan kawasan longgokan sampah," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan bantuan awal persekolahan di Simpang Ampat di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pembinaan dua loji panel solar yang mengeluarkan toksik di Batu Kawan di sini yang diluluskan kerajaan DAP Pulau Pinang.
Ahad lalu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan berkata, sebuah syarikat beribu pejabat di Jiangsu, China sedang mengadakan temu duga terbuka selama dua hari di sebuah hotel di Butterworth bagi mencari pekerja baru untuk loji tersebut.
Sebelum ini, Ketua Biro Perkhidmatan Awam Pemuda Gerakan negeri, Rich Too mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mahu membina loji yang sama oleh sebuah syarikat dari Jerman, juga di Batu Kawan.
No comments:
Post a Comment