50,000 permohonan sagu hati khas diproses
SEPANG 22 Mac - Sebanyak 50,000 borang permohonan wang sagu hati khas untuk anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat semasa darurat telah diproses sebelum sumbangan dapat diserahkan kepada penerima secara berperingkat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim berkata, sehingga kini seramai 10,000 pemohon telah menerima wang sagu hati berkenaan di seluruh negara.
"Setakat ini, Perak dan Johor merupakan negeri paling tinggi menerima sumbangan bernilai RM3,000 seorang itu.
"Sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah berkorban untuk negara ketika zaman darurat dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Sagu Hati Bekas Polis Zaman Darurat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman. Seramai 49 bekas polis dan waris menerima sumbangan khas itu pada majlis tersebut.
Salah seorang penerima sumbangan, Jubaidi Dahlan, 78, berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan masih menghargai pengorbanannya yang pernah bertugas sebagai polis hutan pada 1952 hingga 1955.
"Terima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan ini, saya tidak boleh lupa mengenangkan peristiwa diserang komunis ketika sedang berkhemah bersama 24 anggota lain di Broga.
"Nasib baik kami semua selamat dan berjaya menangkap seorang anggota komunis perempuan," kata datuk kepada 20 cucu itu.
Sementara itu, balu salah seorang anggota polis zaman darurat, Safiah Husin, 74, menyifatkan pemberian sumbangan khas itu menandakan kerajaan tidak pernah lupa kepada mereka yang telah terkorban.
"Saya rasa gembira bercampur sedih dengan pemberian sumbangan khas ini kerana suami, Jaafar Abdul Rahman telah meninggal dunia enam tahun lepas akibat barah usus. Terima kasih di atas sumbangan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment