Monday, March 26, 2012

gagal menarik pelabur

Gagal tarik pelabur asing

PASIR PUTEH 24 Mac - Kelantan tidak berupaya menarik pelaburan asing bagi menjana ekonomi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas menyediakan infrastruktur yang diperlukan oleh para pelabur.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, negeri ini memerlukan tiga elemen penting iaitu pelabuhan perdagangan, lapangan terbang antarabangsa dan rangkaian jalan raya yang lebih sempurna.

"Ini termasuk keperluan bekalan air bersih dan bekalan elektrik mencukupi. Tanpa kemudahan ini, ia tidak akan menarik minat pelabur dunia untuk bertapak di Kelantan," katanya selepas merasmikan Himpunan Belia Jajahan Pasir Puteh 2012 di Padang Sekolah Kebangsaan Seri Aman dekat sini hari ini.

Seramai 2,000 belia setempat berkumpul bagi menjayakan aktiviti senamrobik bersama ikon belia iaitu Danny X-Factor dan Syed Aiman.

Himpunan berkenaan turut berjaya memungut 2,000 tandatangan bagi menyatakan sokongan kepada dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Mustapa berkata, kekurangan tiga elemen berkenaan dan persekitaran yang tidak menarik menyebabkan Kelantan mundur dalam sektor pelaburan sejak sekian lama.

Menurutnya, kawasan perindustrian Pangkalan Chepa tidak mencukupi bagi menarik minat pelabur berskala besar untuk menjana pendapatan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, bagi menarik pelabur, Lapangan Terbang Sultan Ismail perlu dinaik taraf, pelabuhan dan rangkaian jalan raya yang dapat memendekkan perjalanan dari Kelantan ke bandar-bandar utama juga perlu dibina.

Kelantan, katanya, akan berada pada takuk lama sekiranya semua keperluan itu gagal dilaksanakan oleh kerajaan Pas walaupun telah diberi mandat lebih 21 tahun mentadbir negeri.

Sementara itu, isteri Mustapa, Datin Seri Khamarzan Ahmed Meah dan rombongan Wanita UMNO melawat Hospital Tanah Merah hari ini.

Dalam lawatan yang disertai Ketua Wanita UMNO Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamat itu, rombongan berkenaan turut menyampaikan sumbangan kepada 150 pesakit di hospital tersebut.

No comments:

Post a Comment