Sunday, March 25, 2012

pr roboh asrama

Asrama Yayasan Selangor tetap dirobohkan - Menteri Besar

SHAH ALAM 23 Mac - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan meneruskan rancangan merobohkan dua asrama milik Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk melaksanakan aktiviti pembangunan bernilai tinggi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dengan alasan bahawa strategi Yayasan Selangor menempatkan anak-anak Selangor di Asrama Toh Puan Norashikin dan Asrama Tun Dr. Ismail di sekolah kawasan bandar seperti Kuala Lumpur tidak lagi sesuai.

Malah, katanya, berdasarkan penelitian pihaknya, selepas tahun 2000, pencapaian pelajar sekolah di luar bandar adalah lebih baik daripada sekolah di kawasan bandar, selain kuota pelajar yang ditetapkan Kementerian Pelajaran di sesebuah sekolah.

"Sebagai contoh anak-anak Selangor ditempatkan di setiap sekolah ternama di Kuala Lumpur seperti Victoria Institution dan St. John Institution telah dikurangkan oleh Kementerian Pelajaran daripada 20 orang kepada lima orang untuk satu sekolah sahaja mulai tahun 2000.

"Oleh itu, pihak Yayasan Selangor terpaksa menghantar pelajar-pelajar tajaan mereka ke sekolah luar dari Kuala Lumpur seperti di Petaling Jaya. Keadaan ini menyebabkan para pelajar menghabiskan masa kira-kira tiga jam dalam perjalanan pergi dan balik dari asrama ke sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mahu meneruskan pembangunan di atas tapak dua asrama berkenaan, selain bentuk pembangunan baru yang akan dibangunkan di lokasi itu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, ketika ini Yayasan Selangor hanya boleh menampung pelajar tidak melebihi 1,500 orang di kedua-dua asrama berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri dijangka membentangkan perancangan yang dibuat terhadap Yayasan Selangor melibatkan soal pendidikan dan pengurusan akaun yayasan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini.

Jelasnya, sehingga kini, nilai aset Yayasan Selangor berjumlah lebih RM500 juta boleh digunakan untuk melaksanakan perancangan-perancangan yang telah dibuat.

"Kita akan membuat penilaian setiap aset-aset yang dimiliki oleh Yayasan Selangor. Daripada penilaian itu, kita boleh melaksanakan pembinaan sebuah sekolah berasrama penuh milik Yayasan Selangor di Bestari Jaya.

"Dengan adanya sebuah sekolah berasrama penuh, lebih 2,000 pelajar tajaan dapat ditempatkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment