Pembangkang perlu cermin diri
Oleh Zulkiflee Bakar
DALAM minggu ini, dua pihak telah membuat kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar Utusan Malaysia. Pihak pertama, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala pihak kedua pula ialah Kerajaan Pas Kelantan.
Sememangnya itu hak mereka untuk berbuat demikian kerana sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008, tindakan menyaman sudah menjadi satu budaya baru bagi pakatan pembangkang yang sebelum ini menggambarkan mereka adalah jaguh dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Tetapi seperti biasa, pembangkang sememangnya hanya bijak bercakap, melemparkan tohmahan, mewujudkan persepsi dan merasakan mereka sahaja yang betul.
Bagaimanapun yang menjadi persoalan mengenai kenyataan-kenyataan yang dibuat ketika hasrat hendak mengambil tindakan undang-undang mahu dilakukan.
Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran yang memperlekeh akhbar Utusan Malaysia berhubung isu Anwar yang didakwa sebagai seorang biseksual.
Surendran yang turut bertindak sebagai peguam Anwar berkata, laporan yang memetik Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan itu merupakan kenyataan palsu, bermotif politik serta bertaraf kewartawanan 'longkang' paling buruk.
Kenyataan kedua pula oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Infrastruktur, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abd. Rahman yang menyelar Utusan Malaysia berikutan penyiaran artikel bertajuk 'Ingatan Anak Muda Kepada Pas' pada 20 Mac lalu yang menyentuh mengenai air bersih di Kelantan.
Beliau berkata, wartawan yang menulis rencana itu tidak beretika kerana sengaja mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak berasas.
Cuba kaji kenyataan kedua-dua mereka, Surendran menggunakan istilah ''kenyataan palsu, bermotif politik serta bertaraf kewartawanan 'longkang' paling buruk.''
Sementara, Md. Anizam pula menggunakan perkataan, ''tidak beretika dan sengaja mengelirukan rakyat dengan fakta yang tidak berasas."
Tidak apalah itu dakwaan dan tuduhan mereka, tetapi fikirkan bagaimana permainan politik pembangkang dan media pro mereka, tidakkah semua sikap yang mereka katakan itu selama ini diamalkan oleh golongan berkenaan?
Apakah selama ini pembangkang tidak mengamalkan 'politik longkang' apabila menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tuduhan dan memfitnah pemimpin-pemimpin UMNO sesuka hati.
Bagaimana pula dengan tindakan mereka mengelirukan rakyat apabila memberi fakta palsu berhubung beberapa agenda kerajaan termasuk menuduh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah, menuduh kapal selam yang dibeli oleh Malaysia tidak boleh menyelam, mendakwa penyenaraian Felda di Bursa Malaysia akan merugikan peneroka dan membuat fitnah bahawa Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menjual barang tidak bermutu kepada rakyat?
'Politik longkang'
Begitu juga apabila mereka berkempen bermati-matian mengelirukan rakyat bahawa projek nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan mengancam nyawa penduduk?
Apakah beretika sangatkah media Suara Keadilan milik PKR apabila menyebarkan fitnah kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat (AS) kerana dianggap pengganas?
Bagaimana pula dengan tuduhan pembangkang bahawa Felda Iffco, sebuah syarikat multinasional telah menjual produk berasaskan kelapa sawit kepada Israel sedangkan syarikat itu membantu rakyat Palestin.
Kenapa pembangkang mengamalkan 'politik longkang' dengan mengelirukan rakyat apabila menyembunyikan fakta sebenar bahawa, oleh kerana Palestin tidak mempunyai pelabuhan maka kapal yang membawa produk itu terpaksa menggunakan pelabuhan Ashdod di Israel?
Ini belum lagi mengambil kira bagaimana pemimpin Pas kerap kali mengelirukan umat Islam melalui kenyataan-kenyataan kontroversi berkaitan agama.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad mempersoalkan tindakan saman yang semakin rancak dilakukan oleh pembangkang ke atas akhbar Utusan Malaysia.
''Ini kerana dalam sesetengah kes, biar pun ada ramai individu dan pihak-pihak tertentu secara terang-terangan menyuarakan isu yang sama dengan Utusan Malaysia bukan sahaja tidak pernah disaman malah dicuit pun tidak. Oleh itu, ternyata saman yang dikenakan kepada Utusan Malaysia bermotif politik dan bukannya untuk mencari kebenaran dan memelihara maruah diri," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, ironisnya, apabila sesuatu berita baru yang mempunyai bukti yang kukuh dan berfakta disiarkan, maka ia menjadi satu masalah dan beban baru kepada pihak pembangkang.
Secara logiknya, kata beliau, keadaan ini perlu ditangani dengan cepat dan strategik oleh pihak pembangkang sebelum berita tersebut menjadi lebih panas dan sensasi, maka jalan yang terbaik adalah membuat penyimpangan politik (political divertion) dengan mengarahkan peguam memfailkan kes di mahkamah.
''Dalam hal ini, bukan soal jumlah saman yang berjuta, tetapi strateginya adalah kes atau berita tersebut perlu dihentikan momentumnya pada kadar segera dan tidak boleh lagi dipanjangkan.
''Ia sebenarnya suatu strategi politik yang bijak tetapi masyarakat sudah mulai faham dan sedar akan strategi-strategi kotor sebegini, '' katanya.
Menyebelahi
Sememangnya itulah perangai pembangkang, mereka sentiasa akan melakukan tindakan untuk memaparkan mereka berada di pihak yang benar dan tindakan saman ini biar pun dilihat bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar tetapi pembangkang peduli apa.
Bagi pembangkang, konsep kebebasan media dan kebebasan bersuara hanya jika sesuatu perkara itu menyebelahi mereka, jika sesuatu isu tersebut mendedahkan keburukan dan kepincangan mereka, mulalah arahan dikeluarkan kepada pasukan peguam masing-masing untuk menghantar notis saman.
Hakikatnya, walaupun pembangkang mengatakan mereka memperjuangkan kebebasan media tetapi selain daripada mengambil tindakan undang-undang, pembangkang juga mengamalkan diskriminasi apabila dalam majlis atau acara mereka hanya media yang menyebelahi mereka sahaja akan dijemput.
Sikap ini berbeza dengan BN yang sama sekali tidak akan mengamalkan sikap politik jumud pembangkang itu. Pemimpin-pemimpin BN tidak akan mudah menyaman biarpun media-media pro pembangkang terutama lidah rasmi mereka sentiasa sahaja melakukan fitnah dan tohmahan.
''Hanya sesekali kita mendengar pemimpin BN menyaman institusi akhbar milik pembangkang seperti Harakah, Suara Keadilan mahupun Roket. Itupun setelah dirasakan bahawa mereka tidak boleh lagi bertahan dengan keadaan. Walaupun begitu, ini tidaklah bermakna akhbar-akhbar milik pembangkang tidak menyiarkan berita yang salah dan tidak berfakta tetapi barangkali mereka, pemimpin BN tidak mempunyai banyak masa untuk bermain dengan politik sebegini.
''Masa bagi pemimpin-pemimpin BN lebih berharga digunakan untuk menyelesaikan tanggungjawab kepada rakyat melalui tugas di kementerian, sebagai Ahli Parlimen dan sebagainya. Jadi, persoalannya di mana keberanian dan maruah pakatan pembangkang dalam hal ini?," tanya Ahmad Masrizal.
Seperkara lagi, pembangkang bimbang pendedahan demi pendedahan yang dibuat berhubung kepincangan dan salah laku mereka akan mempengaruhi rakyat kerana selama ini apa yang cuba pembangkang gambarkan ialah seolah-olah merekalah makhluk paling suci dan sempurna di muka bumi Allah ini.
Tetapi hakikatnya mereka tidak sedemikian, malahan ada sesetengah perbuatan pemimpin mereka terutamanya dari segi moral jauh lebih teruk berbanding dakwaan serta fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin BN.
Justeru pembangkang tidak layak untuk bercakap soal tidak beretika, memaparkan fakta palsu dan mengelirukan rakyat kerana mereka sendiri yang melakukan perbuatan berkenaan, oleh itu cerminlah diri!
No comments:
Post a Comment