Penyampaian BR1M dipermudahkan
SUNGAI PETANI 15 Mac - Meskipun ada individu yang menghadapi kesulitan untuk tampil di pusat-pusat pengedaran bantuan, namun dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan golongan itu.
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) umpamanya telah membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan, termasuk 34 penghuni Rumah Seri Kenangan Bedong (RKSB) dekat sini.
Ditemui Utusan Malaysia pada majlis penyampaian BR1M oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain baru-baru ini, tiada kata-kata yang diucapkan warga emas berkenaan melainkan terima kasih kepada kerajaan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas keprihatinan mereka.
Seorang warga emas, Shabudin Supino, 61, mengakui amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kerana bantuan RM500 itu dianggap amat besar.
Shabudin yang kini uzur dan terpaksa menggunakan kerusi roda mengakui ia adalah sumbangan kewangan terbanyak yang diterimanya setakat ini.
"Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat lebih-lebih lagi warga emas yang sebatang kara seperti kami. Terima kasih kerana datang sampaikan bantuan di sini.
"Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan baju baru," katanya sebak.
Penguasa RKSB, Shahrin Nizar Azudin berkata, pada mulanya pihaknya agak keberatan untuk membawa penghuni rumah berkenaan untuk mengambil BR1M di pusat edaran yang ditetapkan.
Katanya, ini kerana ramai di antara warga emas terbabit berada dalam keadaan uzur dan sesetengahnya terlantar.
"Bagaimanapun, kami berasa gembira apabila mendapat panggilan daripada Datuk Tajul Urus memaklumkan BR1M akan diserahkan di sini (RKSB)," katanya.
Sementara itu, Tajul Urus berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira kesulitan yang dihadapi oleh penerima bantuan termasuk mereka yang ditimpa masalah atau tinggal di kawasan pedalaman.
"Sebab itu kami seboleh-bolehnya menyediakan kemudahan lengkap untuk salurkan bantuan. Jika penerima tak dapat datang, kami sendiri akan pergi sampaikan bantuan berkenaan," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok.
No comments:
Post a Comment