Bantah peniaga warga asing
8 Mac 2012
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, satu himpunan iaitu kira-kira 5,000 peniaga kecil yang terjejas akan bersama-sama dengan Ikhlas menyerahkan memorandum tersebut kepada DBKL pada 15 Mac ini.
“Selama 63 tahun kerajaan memperjuangkan untuk meningkatkan ekonomi peniaga Melayu tetapi akhirnya gagal disebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak bersungguh-sungguh mengatasi masalah ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Peniaga Uptown Danau Kota di Taman Melati, kelmarin.
Ridzuan berkata, lambakan peniaga warga asing haram di Kuala Lumpur bukan sahaja menyekat periuk nasi peniaga tempatan tetapi juga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, tidak dinafikan terdapat beberapa isu melibatkan masalah sosial yang melanda di Kuala Lumpur apabila kebanjiran warga asing ini tidak dikawal.
“Ini kerana terdapatnya warga asing yang berniaga tidak mempunyai pasport sah dan tidak menghormati peniaga, rakyat tempatan mahupun polis.
“Sehubungan ini, Ikhlas mencadangkan supaya menubuhkan satu jawatankuasa bertindak untuk mengkaji semula kehadiran peniaga haram seterusnya mengambil tindakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ridzuan turut berharap DBKL dapat mempertimbangkan permohonan oleh Persatuan Peniaga Uptown Danau Kota untuk melanjutkan sehari waktu perniagaan iaitu pada Selasa.
Katanya, perkara ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan mendapat sokongan.
“Saya berharap DBKL dapat memberi kelonggaran kepada peniaga kecil Uptown Danau Kota yang mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.
Pengerusi Persatuan Peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim berkata, persatuan akan terus berjuang untuk mendapatkan hak ini dan mengambil inisiatif bersama penduduk dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam.
“Permohonan lanjutan sehari kepada berniaga enam hari seminggu ini diyakini tidak akan menimbulkan permasalahan seperti sebelum ini sekiranya keselamatan dan ketenteraman awam dipantau dengan baik.
“Sehubungan dengan ini, persatuan akan mencadangkan kepada DBKL agar Persatuan Penduduk di sini mengambil alih penganjuran bazar malam Uptown Danau Kota supaya limpahan ekonomi dapat dikongsi bersama,” katanya.
No comments:
Post a Comment