Bantah rampas tanah TKPM
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
KUALA SELANGOR 24 Mac - Kira-kira 25 peserta Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Taman Agroteknologi Bestari Jaya di sini membantah hasrat kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk merampas tanah pertanian yang diusahakan mereka sejak 12 tahun lalu.
Tanah seluas 141.6 hektar itu yang meliputi kebun sayur-sayuran, kolam ikan dan kandang ternakan itu diarah dikosongkan oleh kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dalam tempoh 14 hari bermula 14 Mac lalu.
Lebih menyedihkan, modal jutaan ringgit yang dikeluarkan melalui pinjaman bank sejak TKPM diusahakan oleh kesemua peserta bermula tahun 2000 dengan penyeliaan Kementerian Pertanian yang telah membuat perjanjian persefahaman bersama kerajaan negeri ketika itu, bakal 'lebur'.
Ini kerana kerajaan Selangor mahu semua bangunan di tanah tersebut diruntuhkan sebelum mereka 'dihalau' keluar dan hasil pertanian yang masih belum sedia untuk dituai akan 'hangus' memandangkan notis pengosongan tanah itu bakal berakhir pada 27 Mac ini dan tiada ganti rugi dijanjikan.
Bagi menyuarakan bantahan tersebut, lebih 100 orang termasuk peserta TKPM, keluarga dan pekerja mereka mengadakan demonstrasi aman selama sejam di laluan masuk ke Taman Agroteknologi Bestari Jaya di sini bermula pukul 10.30 pagi ini.
Mereka turut membawa sepanduk yang antaranya bertulis 'Kerajaan negeri perampas hasil rakyat', 'Kembalikan Hak Kami' dan 'Kerajaan Selangor penipu rakyat No. 1'.
Menurut salah seorang peserta TKPM, Mohd. Fadzil Ibrahim, tindakan kerajaan negeri mengarahkan mereka mengosongkan tanah yang diusahakan sejak sekian lama amat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana kebanyakan peserta mengeluarkan modal sendiri.
Bekas pelukis pelan yang meninggalkan kerjayanya untuk menjadi peserta TKPM memberitahu, sejak tahun 2000, dia telah membuat pelaburan kira-kira RM3 juta hasil wang simpanan serta pinjaman bank dan kini telah berjaya mengusahakan 200 kolam ikan, satu kilang makanan dan pusat ternakan di situ.
"Jika kerajaan negeri arah saya keluar, bagaimana dengan hasil usaha saya selama ini dan pinjaman bank yang perlu dilunaskan. Bagaimana pula nasib keluarga saya yang memang bergantung kepada hasil pertanian dan para pekerja kami," luahnya ketika ditemui pemberita selepas demonstrasi aman selesai.
Seorang lagi peserta, R. Logaraja, 50, yang mengusahakan tanaman sayur di atas tanah seluas 0.8 hektar pula berharap kerajaan negeri menarik balik hasrat untuk mengambil tanah TKPM itu atau sekurang-kurangnya memberi ganti rugi yang setimpal kepada semua peserta.
"Saya tidak sangka kerajaan PKR sekejam ini sedangkan dahulu semasa mahu memerintah, mereka berjanji akan menjaga kebajikan rakyat. Lebih baik saya sokong kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang turut hadir semasa demonstrasi itu berharap kerajaan negeri lebih bertimbang rasa terhadap peserta TKPM.
No comments:
Post a Comment