Monday, March 26, 2012

pas tidak bijak berniaga

Premium rendah, Pas Kelantan tidak bijak

PASIR MAS 24 Mac - Kerajaan Pas Kelantan disifatkan tidak bijak apabila dikatakan hanya mampu memperoleh premium rendah hasil pelaksanaan projek Lembah Sireh yang didakwa membabitkan pelaburan berbilion ringgit.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun kawasan Lembah Sireh melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah, ia sepatutnya tetap berupaya memberi pulangan lumayan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata, apa yang dikesalkan adalah Kerajaan Pas Kelantan yang sering mendabik dada sebagai bijak mentadbir, gagal melihat peluang untuk membuat keuntungan besar dalam projek berkenaan.

"Negeri lain juga ada projek melibatkan kerja-kerja tebus guna tanah, tetapi mereka boleh menjana keuntungan besar kerana kerajaan negeri terbabit bijak dalam membuat perkiraan.

"Sebaliknya, di Kelantan tempoh pajakan tanah dan premium tidak dibuat dengan teliti menyebabkan kerajaan negeri hilang pendapatan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chetok dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ibrahim turut menyampaikan anugerah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini memaklumkan, janji memberi lot kedai kepada penduduk asal di Lembah Sireh masih belum dapat ditunaikan kerana kawasan yang ditebus guna oleh pemaju di Lembah Sireh belum lagi mencukupi untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan, setakat ini hanya lebih 92 hektar yang baru ditebus guna daripada 290 hektar yang dirancang menyebabkan projek pembangunan lot kedai itu terpaksa ditangguh.

No comments:

Post a Comment