Monday, March 26, 2012

halang dap jual tapak masjid

Halang jual tapak masjid

PULAU PINANG 24 Mac - Sekretariat Selamatkan Tapak Masjid di Bayan Mutiara akan ditubuhkan jika terbukti Kerajaan DAP Pulau Pinang menjual tapak masjid seperti yang terdapat dalam pelan pembangunan asal kepada syarikat pemaju swasta.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau akan bekerjasama dengan Pemuda UMNO negeri dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempertahankan tapak yang sepatutnya dibina masjid.

"Sekretariat ini perlu ditubuhkan kerana ini merupakan perkara serius dan berkait rapat dengan keperluan umat Islam di negeri ini yang mana telah dijamin dalam Perlembagaan.

"Jika Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang yang bermaruah dan berintegriti, beliau tidak harus lari daripada menjawab isu yang dibangkitkan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin mengenai keputusan kerajaan negeri menjual tanah di Bayan Mutiara yang mana dalam pelan pembangunan asal terdapat tapak masjid telah diluluskan pada 2006.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas berkata, jika dalam perkara lain Guan Eng mungkin boleh mengelak daripada memberi penjelasan, namun kali ini beliau tidak boleh lagi membisu.

"Pembangunan sehingga menjual tapak masjid di negeri ini sebenarnya telah mengguris hati umat Islam dan beliau telah mengkhianati orang Melayu yang memberi sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sehingga pembangkang berjaya menawan negeri ini.

"Jangan hanya bermanis muka di depan tetapi mempunyai perancangan lain di belakang. Kami akan pertahankan tapak masjid itu walau apa pun terjadi," katanya.

No comments:

Post a Comment