Saturday, March 10, 2012

kalau kerajaan mansuh caj ptptn

Mansuhkan caj pinjaman PTPTN

ALNORULHADI AB HAMID
Kota Bharu, Kelantan

Lembaran tahun 2012 dibuka dengan pelbagai insentif kerajaan kepada rakyat. Yang paling popular buat masa sekarang ialah skim bantuan rakyat BR1M. Paling terbaharu ialah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberikan diskaun 50 peratus tol Lebuhraya Cheras - Kajang. Ini boleh diibaratkan hadiah untuk rakyat, terutama bagi pengguna lebuh raya berkenaan.

Tetapi apa yang lebih besar dan sentiasa menjadi isu ialah caj satu (1) peratus kepada peminjam PTPTN. Untuk rekod, kerajaan telah mengurangkan caj ini daripada empat peratus kepada satu peratus. Tetapi amat wajar jika kerajaan memansuhkan terus caj satu peratus kepada kesemua peminjam PTPTN sebagai hadiah buat rakyat.

Manakala bagi peminjam PTPTN yang telah mendapat pekerjaan, tunaikan kewajipan dengan membayar balik pinjaman.

Saya percaya pemansuhan caj satu peratus amat realistik dan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan supaya rakyat bertambah yakin kerajaan boleh melaksanakan sesuatu janji tanpa mereka-reka pelbagai manifesto pilihan raya.

Jika pengumuman ini dibuat sebelum PRU -13, sokongan kepada kerajaan makin bertambah dan kuat terutama daripada golongan muda atau lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana majoriti mereka ini peminjam PTPTN. Biarlah kerajaan dituduh memancing undi asalkan peminjam mendapat manfaat atas keprihatinan kerajaan.

Saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan, terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak PTPTN, agar diberi sedikit diskaun kepada pelajar di peringkat ijazah pertama yang mendapat kepujian kelas kedua (atas) iaitu CGPA 3.0 ke atas dalam pembayaran balik pinjaman mereka. Diskaun ini diberikan berdasarkan dua syarat:

n Diskaun diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada pihak PTPTN.

n Diskaun diluluskan bagi peminjam yang telah mula membuat pembayaran balik peminjam mereka.

Bagi peminjam tegar dan degil yang tidak membayar balik pinjaman mereka walaupun telah mendapat pekerjaan tetap, sewajarnya tiada diskaun diberikan kepada mereka.

Saya percaya nilai berapa peratus diskaun tidak penting. Yang lebih penting ialah keprihatinan dan kemampuan kerajaan dalam melaksanakannya. Kita mahu rakyat juga realistik dalam hal ini. Jika cadangan diskaun ini dilaksanakan ia akan memberi motivasi secara tidak langsung kepada pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Cadangan diskaun di peringkat ijazah pertama dipilih kerana secara tidak langsung akan membolehkan pelajar lepasan diploma berminat untuk menyambung pelajaran dan mendapat keputusan yang cemerlang. Jadi apa yang lebih penting sekarang dan dalam jangka masa terdekat, kerajaan bersedia untuk mengumumkan pemansuhan caj satu peratus ini.

Bayangkan jika pelajar meminjam pinjaman PTPTN di peringkat diploma dan ijazah, pelajar ini terpaksa membayar dua kali caj satu peratus ketika membayar balik pinjaman mereka nanti. Sudah pasti pengumuman pemansuhan caj satu peratus ini akan disambut dengan gembira oleh peminjam dan sewajarnya peminjam berterima kasih kepada kerajaan dengan membayar balik pinjaman mereka.

No comments:

Post a Comment