Usah ragu tolak pakatan pembangkang
Oleh A AZIZ DERAMAN
DATUK A AZIZ DERAMAN ialah Budayawan dan Pemerhati Politik
TENANG-tenang politik Sarawak, 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya'. Perumpamaan itu sangat kena dengan fenomena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini. Sesuatu yang benar, buaya itu sinonim dengan Sarawak, berkeliaran di sungai-sungainya, apalagi di Batang Lupar yang sangat tersohor dengan buaya besar, ganas dan membaham apa sahaja mangsa, kadang-kadang 'ngap' manusia juga. Itu semua kerana kepentingan nafsunya. Analoginya saling tidak tumpah dengan timbulnya 'buaya-buaya' politik yang berkeliaran di Sarawak sekarang. 'Jembalang' pun banyak, datang dari Semenanjung.
Selepas penamaan calon pada 6 April lalu, suasana politik Sarawak kelihatan begitu tenang. Di Sarawak tidak ada orang buat kacau, baling botol, maki hamun dan mengherdik. Ada ilmu untuk orang Semenanjung belajar cara Sarawak. Sehingga beberapa hari sesudah penamaan calon pun, perang poster seperti gambaran di Semenanjung juga tidak terjadi.
Poster ada di sana sini, secara kecilan, tetapi tidak sehingga merentangi jalan, menyusahkan laluan atau menutupi bangunan gedung perniagaan. Orang Sarawak nampaknya bermain dalam diam. Penulis berani mengatakan begitu, kerana kebetulan pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 23 Mac, penulis berada di Kuching. Begitu juga pada hari penamaan calon, 6 April. Pada 9 hingga 11 April ini pun penulis berada di sana. Memang sudah beberapa kali penulis berada di Sarawak sejak Januari lalu.
Komentar Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri sangat betul. Orang Sarawak kena berhati-hati dengan 'jembalang' politik dari Semenanjung. Beliau mahu orang Sarawak tolak yang sudah ditolak, misalnya PKR yang sedang runtuh itu, sudah dimakan anai-anai dari dalam. Pihak pembangkang hanya datang untuk mengacau ketenangan Sarawak.
Seorang sahabat di Kuching mengirimkan SMS kempen pembangkang yang berbunyi "Kepada pengundi Sarawak, turunlah semasa hari pengundian DUN Sarawak kelak, masa inilah rakyat berkuasa. Masa ini juga kita pula tipu BN ambil duit, minta projek mi segera tapi undilah PR untuk dapat menghancurkan kuasa Taib Mahmud...cukuplah BERUBAHLAH UNDI KITA KALI INI".
Itu cara kempen mereka, bahkan poster DAP dengan sungguh-sungguh menulis 'Vote for CHANGE, Taib must go'; '30 YEARS, ENOUGH IS ENOUGH'. Kenapa kepada Taib? Kenapa tidak kepada Lim Kit Siang, Karpal Singh, Nik Abdul Aziz bahkan Anwar Ibrahim yang sedang berhadapan dengan kemelut akhlaknya?
Ada beberapa papan iklan kartun yang menarik, dilukiskan Anwar menutup telinga kiri kanannya, Haji Abdul Hadi menutup mata dan Kit Siang menutup mulut.
Tafsirkanlah maksudnya, rahsia apa yang mereka tidak mahu dengar, tidak mahu lihat dan tidak mahu suarakan?. Taib bukan 'must go', tetapi 'must go on'! Apalah erti berubah, kerana konsep transformasi jauh lebih menyeluruh dan luas. Kata mereka pilih pembangkang demi 'progress', tetapi sebenarnya 'don't take progress for granted'.
Rakyat sudah tahu bahawa BN telah menyediakan pelan peralihan kuasa selepas PRN kali ini. Rakyat Sarawak tidak perlu ragu. Perubahan akan dilakukan dan peralihan kuasa akan berjalan sesempurna mungkin. Maka sebab itulah, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN mengingatkan rakyat Sarawak supaya jangan terlalu taksub untuk berubah. Pembangkang hanya tahu berbohong dan mencaci, tetapi tanpa agenda maknawi.
Rakyat Sarawak hendaklah menolak parti-parti pembangkang yang berasal dari Semenanjung, tidak sesuai, cakap tidak serupa bikin, lebih banyak menebar hasutan, fitnah memfitnah dan menjanjikan apa sahaja yang bukan-bukan, bahkan di luar batas keadilan.
Sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu pada Mei 2010, yang menjadi 'batu loncatan' DAP menghasut orang Cina. Sesungguhnya suara rakyat keturunan Cina akan lebih padu melalui BN. Orang Cina Sarawak jangan cuba menukar selera, sebab padahnya tidak terduga. Lihat apa berlaku di negeri-negeri di bawah pembangkang. Pihak pembangkang tidak berdaya di Perak, kelam kabut di Pulau Pinang dan haru biru di Selangor. Apakah yang boleh diharapkan kalau mereka berkuasa?.
Orang Cina kena mensyukuri nikmat pembangunan di bawah kerajaan BN, segala kemudahan pembangunan kota dan infrastruktur menjadi kemudahan hidup yang luar biasa. Rakyat sedih jika tiada kepimpinan dari kalangan kaum Cina yang berfikiran matang dalam BN.
Masyarakat Cina Sarawak yang diiktiraf memberi sumbangan besar kepada kemajuan ekonomi di sana memang perlu meneruskan sokongan padu kepada BN.
Masa depan orang Cina di Malaysia jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara lain. Rakan-rakan di Kuching mengatakan orang Sarawak patut tahu berpolitik cara budaya Sarawak, jangan terpengaruh dengan taktik politik pembangkang dari Semenanjung.
DAP memang menaruh impian besar untuk menguasai pemerintahan, menunggangi PKR dan Pas. Fokus mereka adalah kawasan bandar-bandar. Isu-isu tentang pendidikan Cina, kuota ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, ekonomi, status bahasa, budaya kaum Cina dan pelbagai tuduhan negatif terhadap kerajaan BN menjadi topik pilihan mereka.
Orang Sarawak mesti berhati-hati dengan 'Si Bujang Senang DAP' yang akan meratah jasad dan roh mereka atau awasi 'Jembalang Pembangkang' yang akan menyebabkan ketidaktentuan masa depan.
Pilihan raya bukan tempat melepaskan dendam. Hatta bumiputera Sarawak pun mesti bersatu. Bersatu atas kebumiputeraan meskipun berlainan agama. Jangan sekali-kali melagakan Islam dengan Kristian yang menjadi agenda hasutan baru itu. Tapis hasutan dan isu-isu perkauman yang bukan-bukan. Kempen DAP yang menyemarakkan api perkauman sangat berbahaya bagi perpaduan dan kesatuan bangsa di bawah gagasan 1Malaysia.
Mereka menidakkan keadilan sosial. Mereka menuduh kerajaan melaksanakan dasar diskriminasi kaum. Hal demikian itulah yang dijadikan senjata tajam mereka. Rakyat Sarawak perlu sedar bahawa pihak pembangkang sedang mengheret rakyat penyokong kerajaan ke khemah perkauman, cauvinisme dan ketaksuban puak. Tumpulkan senjata itu dengan memberi sokongan kepada BN.
DAP akan memberikan tentangan sengit kepada BN. Persediaan sudah lama mereka lakukan. Mereka yakin kerana sesudah PRN 2006, BN kehilangan sembilan kerusi ke tangan pembangkang. Tetapi kalau rakyat sudah tahu pembangkang itu bersimpang siur, tidak sama arah tuju perjuangan, tolak sahaja sebab tidak membawa gunanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment