Monday, April 18, 2011

Bn Sarawak

Iktibar berharga buat BN

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERMULA tengah hari sehinggalah pukul 7.30 malam kelmarin, begitu banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima penulis dan rakan-rakan seperjuangan di Kuching tentang benarkah tsunami politik sudah melanda Sarawak.

Panggilan telefon bertalu-talu dari Semenanjung itu mendakwa pakatan pembangkang sudah membentuk kerajaan negeri sekitar pukul 5 petang, yang juga masa semua pusat pengundian di seluruh Sarawak ditutup serentak. Malas melayan panggilan bertalu-talu itu, penulis mendapatkan komen segera daripada seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk mengulas spekulasi ini.

"BN membentuk kembali kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga," kata sumber yang boleh dipercayai itu pada pukul 6 petang. Satu SMS kemudian tertera di telefon bimbit penulis: "Rombongan pihak media sedang menuju ke kediaman Ketua Menteri (di Demak Jaya, Kuching), CM (Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud) pun sudah berbaju Melayu," menguatkan andaian tsunami politik di Bumi Kenyalang cuma khabar angin 'paling hebat' pernah penulis dengar.

Sesuatu yang menarik di sini ialah blogger-blogger pro-kerajaan tidak putus-putus bergasak di ruang maya untuk mengekang psy-war lawan mereka daripada pembangkang sejak pukul 1.30 petang lagi. Ini sejurus Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan spekulasi bahawa pembangkang mendahului dari segi sokongan pengundi di semua pusat mengundi.

Berdasarkan pengamatan penulis sepanjang 10 hari tempoh berkempen, pilihan raya Sarawak diakui menyaksikan persaingan cukup sengit. Di bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, poster-poster Abdul Taib yang diganding dengan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP, parti komponen Cina BN Sarawak) hampir tidak ada langsung. Keadaan ini cukup berbeza dengan senario pilihan raya pada 2006.

Sentimen terhadap Abdul Taib itu sebenarnya bermula sejak pilihan raya kecil Parlimen Sibu lagi pada tahun lepas. Di tengah-tengah kesibukan bandar Sibu, poster Ketua Menteri itu digambarkan 'agak keterlaluan' bersebelahan dengan gambar Lim Guan Eng yang 'bersih dan berwibawa'. Realitinya, bentuk kempen DAP menggunakan poster amat strategis dan informatif. Ini ketara di semua kerusi Cina sehingga menjengkelkan mata memandang.

Sentimen penolakan pengundi Cina terhadap kepimpinan kerajaan negeri termasuk penguasaan kuasa terlalu lama Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam terkesan lebih awal pada hari ketiga kempen. Di Kampung Lereng Bukit di Miri, hadirin ceramah calon DAP pada malam Khamis lalu penuh sesak. Ramai penduduk berbondong-bondong sanggup menjinjing kerusi yang dibawa dari rumah dan premis perniagaan ke tempat ceramah.

Apakah iktibar yang dapat direnung dari pilihan raya Sarawak? Di sebalik kenyataan seorang ketua pemuda parti kerajaan dari Semenanjung kelmarin bahawa 'walaupun keseluruhan BN menang, tetapi BN mengalami kekalahan paling teruk (kali ini)', timbul persoalan apakah penyumbang utama kekalahan BN di kawasan-kawasan Cina.

Semua di Sarawak maklum kekalahan teruk SUPP yang meraih cuma enam daripada 19 kerusi yang ditandingi berpunca daripada kepimpinan Hong Nam serta pergolakan dalaman parti yang berlarutan sejak sekian lama. Ini terutama perseteruan Hong Nam dengan Timbalan Setiausaha Agung SUPP Pusat yang juga Pengerusi SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dengan masih banyak rumah panjang di Bawang Assan, Soon Koh patut bersyukur 'diselamatkan' oleh pengundi Bumiputera untuk menang 1,808 undi menewaskan calon DAP. "Meskipun masalah dalaman SUPP ini baru diperbaiki baru-baru ini dan lukanya dikatakan telah sembuh, (namun) parutnya masih ada," kata sumber parti itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Yang pasti, SUPP akan senasib dengan parti Gerakan di Pulau Pinang yang dikatakan tidak lagi relevan buat pengundi Cina. Implikasinya, wakil Cina mana yang hendak dilantik dalam barisan Kabinet negeri. Adakah Abdul Taib yang menerajui cemerlang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan menyapu bersih 35 kerusi akan mengekalkan wakil SUPP? Adakah masyarakat bumiputera akan memberi tempat yang wajar kepada SUPP? Dilema ini kelak akan menjarakkan lagi kepimpinan negeri dengan SUPP. Dan impaknya ialah pengundi Cina yang nampaknya kena dengan bidalan 'Gajah dan gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah'.

Akhirnya SUPP akan menjadi parti nyamuk. Kedudukannya di ranking nombor dua dalam BN Sarawak hakikatnya telah dirampas oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang hanya kehilangan satu kerusi daripada sembilan yang ditandingi. Dan bukan juga dalam kedudukan ketiga, tetapi SUPP kini jatuh ke tangga keempat pula selepas satu lagi komponen, SPDP menang enam daripada lapan kerusi. Ini bermakna SUPP akan tutup kedai dan gulung tikar. Dan jika imej SUPP yang tercalar ini sudah sedemikian rupa, maka masyarakat Cina di Sarawak perlulah berfikir bagaimana hendak menempatkan wakil mereka dalam kerajaan negeri.

Pokoknya di sini ialah semua kaum, tidak kira masyarakat Bumiputera (terdiri daripada Orang Ulu, Iban, Bidayuh dan Melayu/Melanau) dan Cina perlu bekerjasama untuk Sarawak yang mansang.

Namun, di sebalik sentimen perkauman yang terlampau kuat di kalangan pengundi Cina yang mewarnai penolakan terhadap kepimpinan Abdul Taib, sesuatu yang harus diakui adalah faktor turun padang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjadi enjin penyelamat mencorakkan kemenangan besar BN di kerusi-kerusi pedalaman dan luar bandar.

Dari kerusi 'hitam', dikelabukan dan berakhir ke putih, Najib dan Muhyiddin mengharung cuaca mendung, berkabus dan menongkah angin lintang bumi Sarawak untuk menemui pengundi. Di Bario dan Marudi, penduduk teruja menanti pesawat Najib.

Di Demak Jaya malam kelmarin, Abdul Taib menyanjung tinggi kerja keras Najib dan Muhyiddin. Ternyata selepas ini, masyarakat pedalaman dan luar bandar Sarawak perlu lebih diberi perhatian.
TAJUK-TAJUK BERI

No comments:

Post a Comment