Thursday, April 28, 2011

Isu paper cina

ISU-ISU AKHBAR CINA

POLA POLITIK SUDAH BERUBAH

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 24 April 2011 memaparkan tulisan wartawan Liew Yan Ying mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang mengejutkan penduduk Semenanjung.

Berikut merupakan intipati artikel itu yang bertajuk ‘Kuasa politik tidak berubah, bentuk polanya yang telah berubah!’

Kita menganggap ADUN bumiputera memang patut menjadi peneraju kuasa dalam kerajaan. Semua mengetahui BN akan menang sekali lagi tetapi tidak dinafikan keputusan kali ini telah memberi impak kepada pandangan semua orang.

Lebih mengejutkan, sebuah parti lama, SUPP tersungkur secara keseluruhannya termasuk orang nombor satu parti, Cheng Kak Nan dengan hanya enam kemenangan daripada 19 kerusi yang ditandingi dan hanya dua daripadanya calon Cina.

Walaupun pada sebelum pilihan raya semua orang telah dapat membaca bahawa DAP akan menang besar tetapi tiada yang menjangka, termasuk pemimpin DAP sendiri, bahawa mereka akan menang 12 daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Namun, pola politik di Sarawak telah terbahagi kepada keadaan yang bahaya iaitu terbahagi kepada kumpulan kaum iaitu bumiputera di pucuk pemerintah, kaum Cina menjadi pembangkang.

Dalam kerajaan negeri kaum bumiputera menjadi pemegang tali, wakil kaum Cina pula tiada dalam pucuk pemerintahan.

Serangan hebat pihak parti pembangkang di Sarawak tidak dapat mengubah kuasa kerajaan negeri itu, namun polanya telah berubah! Pola politik di Sarawak tidak semestinya boleh memberi kesan kepada pola politik di Semenanjung, tetapi gelombang politik di Sarawak kali ini pasti akan memberi sesuatu kesan. Kedudukan SUPP boleh memberi gambaran dan impak kepada parti kaum Cina iaitu MCA serta Gerakan dan kesan itu bukan sedikit.

Apabila melihat tersungkurnya SUPP, pemimpin MCA dan Gerakan pasti akan lebih beringat dan lebih berhati-hati untuk menarik kembali pengundi kaum Cina. PRN Sarawak memberi satu mesej kepada pengundi di Semenanjung; pembahagian kaum adalah satu perkara yang kurang sihat di negara ini.

Oleh kerana pemikiran politik berdemokrasi di negara kita belum begitu matang, sebahagian orang-orang fanatik ini akan mengambil kesempatan pada setiap masa untuk mencuri peluang mengadakan pergerakan.

Jika kuasa politik dipegang oleh satu kaum sahaja, kaum lain akan disisihkan keluar dan bukan lagi sebagai pemegang utama kuasa. Sudah tentu pelaksanaan polisi-polisi yang ditentukan oleh pihak kerajaan akan kurang adil kepada kepentingan kaum minoriti yang mungkin akan terabai kelak. Selepas PRN Sarawak, beberapa aliran media dan organisasi tertentu telah tidak sabar-sabar menunjukkan keberanian mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman.

KEBANGKITAN SEMULA BAHASA CINA

AKHBAR Sin Chew Daily News bertarikh 22 April 2011 melaporkan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke China dengan fokus kepada kebangkitan semula bahasa Cina.

Penulis Lim Ming Fah melaporkan Muh yiddin melalui ucapannya menganggap bahasa dan budaya orang Cina sebagai satu harta penting dalam amalan budaya di Malaysia dan menggalakkan generasi muda bukan Cina di Malaysia belajar bahasa Cina demi menjalin perpaduan dan mendalami budaya dan bahasa kaum tersebut.

Malaysia telah menghantar seramai 119 orang pelajar Melayu melalui Mara dan Kementerian Pengajian Tinggi belajar di pusat bahasa asing Universiti Beijing untuk belajar bahasa Mandarin. Di Institut Confucius Cina Universiti Malaya (UM) pula, pengambilan seramai 400 orang pelajar baru terdiri daripada 80 peratus Melayu, lima peratus India dan 15 peratus Cina.

Penulis tidak pernah terfikir bahasa Cina begitu diambil berat dengan begitu ramai rakan bangsa berduyun-duyun mempelajarinya berbanding 10 tahun lalu yang dikaitkan dengan perkembangan di China.

Umpama nasib fengshui berputar seperti roda, bara api bahasa Cina dapat hidup semula setelah China membina 300 sekolah kolej Confucius di 100 buah negara dengan 40 juta orang sedang belajar bahasa Mandarin di seluruh dunia kini.

Di Indonesia dan Thailand, sekolah-sekolah Cina dapat hidup kembali sementara kolej dan universiti di Eropah menubuhkan pusat pengajian bahasa Cina dan fakulti-fakulti berkaitan bahasa Cina.

Di Amerika pula, jawatankuasa beberapa universiti dan kolej mewujudkan penilaian tahap AP (Advanced Placement) bahasa Cina di peringkat sekolah-sekolah menengah dan menjalankan peperiksaan tahunan untuk diambil kira dalam kelayakan masuk ke peringkat pengajian tinggi.

Apa yang kami semua harapkan, pendidikan bahasa Cina di Malaysia dapat terhindar daripada pandangan serong politik dan dapat menembusi tembok halangan perkauman supaya rakan-rakan kaum lain dapat memahami dan sebagai jambatan untuk mengenal kaum Cina di negara ini.

MASUK KABINET ATAU TIDAK?

PENGKRITIK semasa akhbar Nanyang Siang Pau, Loh Hon Chew pada 24 April 2011 menulis mengenai penyertaan SUPP ke dalam kabinet Sarawak serta bagaimana parti pelbagai kaum lebih untung berbanding parti satu kaum.

Penulis menyokong pelantikan Wong Soon Koh dari SUPP ke dalam Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak daripada mengikut saranan MCA dan pertubuhan Cina lain supaya SUPP tidak menyertai Kabinet Sarawak.

Bagi penulis, SUPP bukannya parti kaum Cina dan bukan sekadar mewakili kaum Cina seperti mana Gerakan, DAP dan PKR yang mewakili semua kaum.

Namun, diperakui parti-parti tersebut banyak terdiri daripada orang Cina selaku ahli atau kepimpinan tertingginya dan kerana itu dilabelkan sebagai parti politik Cina.

Walaupun orang Cina buat masa ini tidak menyokong SUPP, orang Iban dan orang Melayu masih menyokong SUPP dan sudah tentu Wong Soon Koh perlu mewakili dua kaum rakan kongsi ini untuk bersuara.

Serupa dengan kedudukan parti Gerakan dan Tan Sri Koh Tsu Koon dalam Kabinet (Kerajaan Pusat) yang mewakili pelbagai kaum.

Orang-orang Cina tidak sokong parti Gerakan, tetapi orang Melayu dan orang India sokong mereka kerana Gerakan sudah menjadi sebuah parti pelbagai kaum.

Sebaliknya, UMNO yang secara terang kepunyaan orang Melayu, mewakili orang Cina pula MCA, dan mewakili orang India ialah MIC.

Jika UMNO (atau parti kaum tunggal lain) tidak dapat sokongan daripada orang Melayu (atau kaum) itu sendiri, sudah tentu mereka juga tidak dapat masuk ke dalam Kabinet.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment