Tuesday, April 19, 2011

Terima Kasih

Belajarlah berterima kasih!

ISHAK BIN MOHAMAD
Alor Gajah, Melaka.

Sejak sekian lama, tempat kediaman kami adalah luar bandar. Memang ada bandar di tempat kami, namun seawal jam 6 petang, bandar kami pun suram sementara kedai-kedai sudah banyak ditutup.

Siapa tidak mahu pembaharuan dan perubahan? Seperti di tempat-tempat lain, tempat kami juga mengalami pembaharuan dan perubahan. Namun perubahan berlaku sedikit demi sedikit, barang kali sesuai dengan status luar bandar tempat kami.

Namun sudah sekian lama kami menyokong dan setia. Jika sesekali kami bersuara, suara kami sekadar mengingatkan pemimpin atau sekadar memberi pandangan.

Ada masa kami geram dan marah. Namun apabila tiba saat penentuan, kami bersatu mengungkapkan rasa, mengucapkan terima kasih dengan nikmat yang kami perolehi selama ini.

Kami mahu sebuah kehidupan yang harmonis. Kami berkongsi taman perumahan. Anak-anak kami berkongsi taman permainan. Semuanya berjalan dalam lingkaran perpaduan pelbagai kaum.

Sesekali kami memandang kehidupan bandar yang serba pesat membangun. Segala-galanya tersedia, baru dan canggih. Jalan rayanya, pengangkutan awamnya serta pelbagai kemudahan lainnya. Seolah-olahnya orang di bandar penduduk kelas pertama.

Kami, walaupun jauh di luar bandar, sentiasa membaca akhbar. Mereka di bandar apabila meminta mahunya segera. Ada masa minta pun dengan ugutan. Bahasa tidak lagi menunjukkan bangsa.

Orang semacam ini tidak tahu berterima kasih. Barang kali mungkin kerana mereka tidak terasa kerana bagaimanapun mereka, kerajaan yang ada tetap mengutamakan rakyat!

Barang kali kita berkongsi perasaan ini dengan sekian ramai penduduk luar bandar lain yang selama ini setia dan sentiasa mengenang budi. Kami kasihan melihat kerajaan yang cuba memberi sekian banyak kelebihan kepada bandar.

Sejak sekian lama mereka yang di bandar memang telah membentuk satu trend. Apa pun kelebihan yang mereka peroleh, apabila mereka membuat penentuan, pembangkang juga pilihan mereka.

Bila kita tidak mahu belajar berpuas hati, apatah lagi berterima kasih, apakah ada lagi kemegahan nama bangsa kita?
TA

No comments:

Post a Comment