Faktor pengundi Cina
Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my
SEJAK Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa di tiga lagi negeri dan penguasaan di Parlimen merosot, faktor pengundian rakyat negara ini sering menjadi perbincangan.
Keupayaan pakatan pembangkang menggugat kedudukan BN yang memerintah negara ini sejak merdeka dilihat sebagai perubahan sikap rakyat yang dikatakan semakin bijak menilai.
Malah, 15 siri pilihan raya kecil selepas itu diikuti dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini menunjukkan pola pengundi yang seolah-olah menjauhi BN terutama dari kalangan kaum Cina.
Walaupun pelbagai transformasi sama ada ekonomi mahupun sosial telah dilakukan sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, namun BN dilihat begitu sukar untuk menarik semula undi Cina.
Ada pandangan yang mengatakan pengundi Cina mengundi berdasarkan garis perkauman dengan menolak pemimpin dari parti yang bekerjasama dengan UMNO.
Pandangan lain pula berpendapat pengundi Cina terutama di kawasan bandar mempunyai pandangan berbeza dan BN belum dapat memenuhi keperluan mereka.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut berpandangan demikian menegaskan ia tiada kaitan dengan sentimen kaum. Sebaliknya kata Tiong Lai, ia lebih berkaitan dengan sentimen bandar dan luar bandar.
Walaupun pemimpin MCA itu menolak kaitan antara paten sokongan pengundi Cina dengan unsur perkauman, namun yang nyata buat masa ini BN bukan pilihan mereka. Penolakan terhadap BN itu pula berlaku secara berterusan. Daripada PRU 2008, diikuti dengan 15 pilihan raya kecil membawa kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak, pengundi Cina memilih mengundi untuk parti tertentu.
Mereka secara terbuka menolak pemimpin yang datang dari parti yang bersekutu dengan BN. Pada 2008, MCA dan Gerakan ditolak habis-habisan sehingga Gerakan langsung tidak mempunyai wakil di Parlimen, selain kehilangan Pulau Pinang kepada DAP.
Pada Pilihan Raya Sarawak baru-baru ini, SUPP pula ditolak oleh pengundi Cina menyebabkan parti itu sukar untuk meletakkan wakil Cina dalam kerajaan negeri.
Jika soal keperluan yang menjadi isu, adakah dengan memilih DAP, maka keperluan itu dapat dipenuhi? Adakah dengan menolak BN, segala apa yang belum dapat dipenuhi akan tertunai? Sedangkan MCA, Gerakan dan SUPP sejak dari dahulu begitu konsisten memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan kaum Cina di negara ini dalam kerajaan.
Malah isu-isu yang diperjuangkan seperti pendidikan, ekonomi dan kebudayaan kadang-kadang menyebabkan parti-parti terbabit terpaksa 'bertegang' urat dengan UMNO. Namun, segala usaha MCA dan Gerakan termasuk SUPP di Sarawak nampaknya masih belum mencukupi untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.
Yang menimbulkan kemusykilan, ketika menolak BN yang kononnya gagal memenuhi kehendak komuniti Cina di negara ini, mereka memilih untuk memberi sokongan kepada sebuah parti perkauman seperti DAP.
Mampukah DAP memenuhi segala keperluan yang dikatakan tidak mampu ditunaikan oleh BN itu? Atau mereka sememangnya beralih ke parti tersebut kerana prinsip perjuangannya yang berasaskan kaum?
Seperti kata Datuk Mukhriz Mahathir, DAP tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada pengundi di kawasan yang mereka wakili. Selama ini pun telah terbukti pemimpin DAP hanya pandai mengkritik tetapi apabila diberi peluang untuk mentadbir, mereka gagal melaksanakannya.
Bagi Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, beliau tidak ada masalah untuk membawa keluar parti pimpinannya dari BN sekiranya berterusan ditolak oleh kaum Cina. Kesanggupan Soi Lek untuk membawa keluar MCA dari BN menunjukkan isu sokongan pengundi Cina cukup serius. Bagi MCA, tidak ada gunanya mereka berterusan bekerjasama dalam BN jika tidak mendapat sokongan majoriti kaum Cina.
Ketika ini DAP dengan pendekatannya lebih berjaya memikat hati kaum Cina berbanding MCA dan Gerakan yang selama ini bukan sahaja menjadi rakan tetapi juga pendesak kerajaan supaya memastikan segala keperluan masyarakat Cina dipenuhi.
Kenyataan Soi Lek itu seolah-olah memberi gambaran kaum Cina di negara ini tidak kisah jika mereka tidak ada wakil dalam kerajaan. Satu lagi andaian ialah mereka menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti Melayu. Atau mungkin juga mereka hanya menolak kerjasama dengan UMNO tetapi boleh menerima Pas walaupun ia sebuah parti yang memperjuangkan Islam.
Kewajarannya ialah mungkin mereka melihat Pas lebih mudah untuk dikuasai berbanding UMNO yang merupakan parti dominan dalam BN. Yang pasti, sikap pengundi Cina sejak PRU 2008 menunjukkan pertimbangan mereka tidak boleh dipisahkan daripada garis-garis perkauman.
Walaupun ada yang cuba menafikan kaitan itu, namun ia cukup ketara di kalangan pengundi Cina di kawasan bandar. Benar, dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap rakyat bebas menyokong mana-mana fahaman atau parti yang difikirkan mampu memenuhi keperluan mereka.
Jika pengundi Cina memilih untuk tidak menyokong BN, itu pendirian mereka yang perlu dihormati. Di sebalik pendirian itu sudah pasti ada sebab dan puncanya yang perlu dikaji dan diteliti supaya sesuatu dapat dilakukan jika BN ingin mengembalikan sokongan kaum Cina.
Namun, apa pun usaha yang dilakukan oleh BN, akhirnya ia tetap terpulang kepada individu terbabit tentang siapa dan parti mana yang mereka mahu sokong.
Para penganalisis berpendapat faktor pengundi Cina ini pastinya bakal memberikan satu senario politik baru pada PRU akan datang. Cuma diharapkan mereka tidak taksub dengan perjuangan sesebuah parti hingga menolak prinsip multi-racialisme yang menjadi asas kejayaan Malaysia selama ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment