Wednesday, April 20, 2011

Air UUM

Air: UUM wajar contohi langkah diambil UiTM

MAHASISWA PRIHATIN
UUM, Sintok, Kedah

SAYA ingin menarik perhatian mengenai laporan Utusan Malaysia bertarikh 19 April 2011 mengenai masalah yang berlaku kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila kerajaan Kedah menaikkan kadar cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda.

Kenaikan ini mengakibatkan UUM terpaksa menanggung bebanan tanggungan yang tinggi untuk membayar cukai tesebut setiap tahun. Ini ditambah lagi dengan bebanan terpaksa membayar sebanyak RM80,0000 hingga RM90,000 sebulan bagi kos mengangkut air bersih ke UUM untuk kegunaan seluruh warganya, termasuk mahasiswa.

Saya terpanggil untuk mencadangkan kepada pihak UUM alternatif bagi mengurangkan kos yang ditanggung pihak universiti yang terkenal dengan jolokan Universiti Pengurusan ini.

Pada 6 April 2011 melalui artikel akhbar ini, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM), telah menandatangani satu MoU dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) tentang penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) yang boleh dimanfaatkan oleh ribuan warga UiTM.

Air hujan melalui sistem ini akan ditapis bagi mengurangkan kandungan asidnya dan boleh digunakan bagi kegunaan domestik seperti di bilik air, mandi, mencuci pakaian dan sebagainya.

Sungguhpun UiTM adalah universiti awam yang menjadi perintis kepada kerjasama tersebut, saya fikir tidak ada salahnya pihak UUM menjadi universiti awam kedua menggunakan kepakaran JPS untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan bertahun lamanya ini.

Saya fikir pihak UUM perlu mencari jalan keluar daripada permasalahan ini. Berbelanja sebanyak RM80,0000 hingga RM90,000 sebulan bagi kos mengangkut air bersih sudah tentu amat merugikan dan tidak berbaloi sedangkan ada cara yang lebih efesien dan kreatif yang boleh dimanfaatkan oleh pihak UUM bagi menyelesaikan masalah tersebut. Tidak perlu menunggu kerajaan Kedah yang memungkinkan masalah ini sukar ditangani akibat masalah birokrasinya.

Saya sedari mungkin kos permulaannya agak tinggi bagi memulakan Sistem Penuaian Air Hujan ini. Namun ia akan dapat menyelesaikan masalah jangka panjang kepada UUM dan memberi manfaat kepada seluruh warganya terutama para mahasiswa.

Jika masalah ini dapat diatasi, UUM akan akan dapat menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung setiap bulan. Secara tidak langsung ia juga akan menarik lebih ramai mahasiswa dari dalam dan luar negara untuk memilih UUM sebagai destinasi lanjutan mencerap ilmu mereka yang utama.

No comments:

Post a Comment