DAP terdesak kutuk PM
Oleh ROZAMAN ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri program Mesra Rakyat di Sadong Jaya, Kuching, kelmarin.
DI sebuah kawasan perniagaan di pinggir bandar raya ini, seorang remaja yang memakai baju T dengan lambang sebuah parti pembangkang kelihatan naik turun tangga premis di satu deretan rumah kedai di situ
Sambil berjalan dan memeluk satu beban risalah bersaiz A4, remaja berusia belasan tahun itu tekun memasukkan risalah itu ke dalam setiap peti surat di premis berkenaan. Jika premis itu tertutup, dia menyelitkan risalah itu di celah-celah jeriji besi.
Remaja itu turut mengedarkannya kepada orang ramai yang lalu lalang atau sedang menikmati makan tengah hari di beberapa restoran di situ.
Risalah dua muka surat itu risalah dwibahasa. Bahasa Mandarin dan bahasa Melayu. Cetakannya sangat terang dan kelihatan bermutu tinggi. Siap dengan nama dan alamat penerbit dan pencetak sekali.
Kandungannya penuh rintihan dan rasa marah tetapi intipatinya mudah. Mesejnya lebih kurang begini ‘undilah kami, mari kita berubah!’ Risalah itu juga mengecam program-program yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.
Gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang Najib perkenalkan diperlekehkan dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan. Semuanya kelihatan hodoh pada mata mereka! DAP tidak senang dengan kejayaan Program Transformasi Ekonomi yang mencapai 120 peratus walaupun baru setahun dilancarkan.
Pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala bahawa ETP memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat pelbagai lapisan bukanlah sesuatu yang menggembirakan DAP.
Walaupun fakta membuktikan sebaliknya, DAP mahu menyembunyikannya. Menariknya sebelum ini atau lebih tepat lagi beberapa tahun sebelum tarikh pilihan raya negeri diumumkan, DAP menyerang Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), musuh ketatnya di kawasan bandar. Tetapi beberapa hari terakhir kempen, muncung sasaran sudah berubah haluan.
Perdana Menteri menjadi sasaran tembakannya. Kenapa? Barangkali DAP sudah merasa tidak selesa dengan kehadiran Perdana Menteri ke negeri Sarawak. Najib sejak hari penamaan calon lagi tidak jemu-jemu turun ke padang bertemu rakyat di pelosok ceruk Bumi Kenyalang ini.
Di kawasan bandar yang penduduknya adalah majoriti orang Cina, Perdana Menteri meredah panas terik untuk bertemu dengan rakyat. Dan setiap kali beliau turun, kehadirannya disambut mesra dan meriah. Orang ramai kelihatan sangat gembira apabila berpeluang berjabat tangan dan melihat wajah Perdana Menteri dari dekat.
Keadaan yang sama juga dapat dilihat bila Najib mengadakan tinjauan mesra di kawasan-kawasan penduduk etnik lain termasuk di kampung-kampung, kawasan luar bandar dan pedalaman. Ketika DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak berkenan dengan perkembangan ini, masyarakat setempat berbesar hati dan sangat mengalu-alukannya.
Pengerusi Wanita Persatuan Kayan Sarawak Roslyn L. Lah menyifatkan lawatan Perdana Menteri dan para pemimpin BN ke kawasan pedalaman seperti Baram dan Telang Usang sangat penting. Para pemimpin tertinggi negara katanya, akan dapat mendekati dan memahami keadaan serta masalah sebenar di peringkat akar umbi.
Pengerusi Rurum Kelabit Miri Dick Bala juga berkongsi perasaan yang sama berhubung lawatan Perdana Menteri ke utara Sarawak termasuk Bario dan Marudi hari ini (14 April). Rurum Kelabit menempah 13 penerbangan pergi-balik Miri-Bario bagi membolehkan para pengundi balik menyambut dan mengundi calon BN.
‘‘Inilah sebahagian komitmen dan penghargaan kami kepada kerajaan yang sentiasa berusaha membawa pembangunan ke kawasan Bario dan Ba’ Kelalan,” katanya.
DAP yang sebelum ini merasa sangat selamat untuk menguasai penuh undi penduduk berketurunan Cina mula merasa sedikit tergugat. Seperti biasa, DAP mempolitikkan apa sahaja yang menguntungkan parti itu. Termasuklah kehadiran sepenuh masa Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke bumi Sarawak.
Kehadiran dua pemimpin utama negara ini juga dilihat mengganggu rentak selera besar DAP dan PKR. Selepas menang enam kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri yang lalu, DAP sudah tidak dapat menyembunyikan cita-cita besarnya.
Parti itu mahu menang di semua kerusi pengundi Cina sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang baru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ini. Tidak hairanlah DAP mencanang slogan Jom Ubah selantang-lantangnya. Kedengarannya hebat walaupun isinya penuh retorik. Pembangkang mendesak rakyat berubah dengan menukar kerajaan.
Soalnya adakah perubahan yang dicanang itu boleh menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya bersamaan dengan apa yang telah dinikmati di negeri ini sekarang. Jika contoh ‘kejayaan’ negeri-negeri yang pembangkang kuasai sejak memerintah pada 2008 dijadikan ukuran, ia adalah perbandingan yang silap.
Rakyat Sarawak tidak sewajarnya menerima nasib sebagaimana rakyat Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Percayalah semakin banyak pengumuman kejayaan program-program transformasi kerajaan, semakin resah parti-parti pembangkang dan semakin banyaklah risalah-risalah kotor disebarkan. Khabarnya Perdana Menteri dan timbalannya akan terus berada di sini sehingga penghujung kempen. Ini bukanlah khabar menggembirakan bagi DAP dan PKR.
Slogan Jom Ubah nampak cantik dan bunyinya enak. Tetapi kesannya sangat besar kepada orang Cina Sarawak. Jika para pengundi Cina membulatkan tekad menolak calon SUPP dan memilih wakil rakyat DAP kali ini, apa yang pasti orang Cina kehilangan kesemua wakil dalam kerajaan negeri secara total.
Jika sebelum ini, SUPP menjadi suara bagi orang Cina, kali ini mereka sudah tiada apa-apa lagi.
Sekadar rekod, SUPP sebelum ini diperuntukkan jawatan Timbalan Ketua Menteri, satu menteri penuh dan empat pembantu menteri dalam Kabinet negeri.
Mengambil kira andaian SUPP tewas semua kerusi kali ini, buat pertama kali juga orang Cina terpaksa berharap kepada kaum lain untuk memperjuangkan hak mereka. Senario menjadi semakin buruk jika pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan negeri.
Seorang ahli perniagaan Cina yang enggan dikenali melontarkan pertanyaan ini:
‘‘Bolehkah DAP menjadi wakil kepada kaum Cina sedangkan mereka tidak berada di dalam Kabinet negeri?
‘‘Mereka hanya boleh membuat bising sahaja di dalam sidang dewan.’
Seperkara lagi orang Cina perlu menyedari DAP dan PKR adalah parti dari Semenanjung yang mempunyai agenda tersendiri. Mereka tidak ikhlas. Mereka sangat mengharapkan gelombang di Sarawak ini menjadi modal untuk terus bernafas pada pilihan raya umum akan datang.
Dengan hanya tinggal dua hari lagi sebelum hari pengundian, masih tidak terlambat bagi pengundi Cina untuk berfikir tentang masa depan mereka di negeri ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment