Saturday, April 9, 2011

Kaut Untung Bazar

Kaut keuntungan di atas air mata peniaga

KOTA BHARU 8 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan kerajaan Pas Kelantan telah melakukan 'penipuan moral' terhadap 300 peniaga kecil di Pasar Lama MPKB dalam isu perpindahan ke Bazar Tok Guru.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia jelas kerana kerajaan Pas Kelantan tidak menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu menyediakan ruang niaga lebih selesa untuk para peniaga tersebut.

Beliau berkata, selain itu, rakyat negeri ini juga mengalami kerugian yang dikatakan sebanyak RM50 juta gara-gara kelemahan pemimpin negeri ini menguruskan pembinaan Bazar Tok Guru dan perpindahan peniaga terbabit.

"Isu ini hanya melibatkan sebuah syarikat pemaju yang membina Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru selain diberi keistimewaan membeli tapak Pasar Lama MPKB dengan nilai harga yang agak aneh.

"Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun mengaku kerajaan Pas Kelantan mengalami kerugian sebanyak RM50 juta dalam isu perpindahan ke Bazar Tok Guru, cuba bayangkan dengan jumlah RM50 juta bagaimana kita dapat membina sebuah kompleks perniagaan yang besar di Kota Bharu.

"Saya melihat ada pihak tertentu meraih keuntungan di atas air mata para peniaga kecil ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB di pejabat Perkasa Kelantan di sini hari ini.

Isu perpindahan 300 peniaga Pasar Lama MPKB dan 115 Peniaga Bazar Arked UDA ke Bazar Tok Guru menjadi kemelut berpanjangan apabila peniaga terbabit mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak menunaikan janji untuk menyediakan ruang niaga yang selesa.

Peniaga-peniaga berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk berpindah dari Pasar Lama MPKB.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pihaknya akan menyediakan peguam terbaik untuk membantu dan memperjuangkan hak para peniaga kecil itu.

"Sebelum ini sudah ada perjanjian persefahaman di antara Kerajaan Pas Kelantan dengan peniaga kecil ini dan jika mereka masih bertegas untuk mengarahkan peniaga keluar daripada Pasar Lama MPKB, kita akan membawanya ke mahkamah, Perkasa akan menanggung kos guaman ini,'' katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment