Thursday, April 28, 2011

Benci BN

Propaganda DAP hasut Cina benci BN

Oleh IBRAHIM YAHAYA

PROPAGANDA, adalah mesej-mesej bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau kelakuan orang ramai. Berbanding dengan menyalurkan maklumat tanpa berat sebelah, propaganda dalam erti kata paling asasnya menyediakan maklumat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat.

Propaganda sering memilih fakta-fakta dengan teliti untuk menggalakkan sintesis yang tertentu, ataupun menokok tambah agar menimbulkan maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi. Hasil yang diinginkan ialah perubahan dalam penceritaan kognitif mengenai subjek oleh kumpulan sasaran untuk melanjutkan agenda politik.

Dalam lain perkataan, mereka yang berjaya menjalankan propaganda dengan sempurna akan memenangi peperangan minda. Inilah peperangan sebenar yang akan dihadapi oleh semua parti politik sekarang. Siapa yang cekap memainkan propaganda, merekalah yang akan menang. Jika BN lemah dari segi propaganda pada masa akan datang, maka pembangkang yang berjaya menggunakannya untuk memenangi peperangan minda itu.

Lihat sajalah bagaimana pembangkang menggunakan strategi propaganda yang bertalu-talu sehingga membentuk pemikiran rakyat untuk menolak BN. Bukan kerana dasar BN yang tidak baik tetapi propaganda yang menggambarkan sebaliknya.

Mereka bukan saja membuat tohmahan tetapi berkata separuh benar. Seperti istilah sudah lama memerintah atau memberikan projek kepada kumpulan tertentu. Apa yang tidak disebut ialah 'lama tetapi berbakti' dan kumpulan 'tertentu' yang dimaksudkan itu adalah syarikat berwibawa dan mampu menjalankan tugas dengan sempurna.

Malah istilah selalu juga diputarbelitkan tanpa memberitahu banyak syarikat lain yang turut mendapat projek selama BN memerintah.

Awal-awal lagi, Anwar Ibrahim sudah membuat propaganda bahawa pembangkang akan memerintah Sarawak. Malah beliau sudah menamakan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri jika Sarawak berjaya diambil alih.

Anwar dan gerombolannya menjalankan tugas menyerang kubu kuat BN di kawasan pedalaman terutama di mana ramai orang Melayu dan Melanau.

Propaganda mereka ialah jika pembangkang mendapat tempat dalam PRU12 di Semenanjung maka tidak ada sebab rakyat Sarawak tidak memilih mereka dalam PRN ke-10 ini. Yang tidak diceritakannya ialah kegagalan pembangkang memerintah selepas diberi peluang di beberapa buah negeri dan masalah timbul sehingga menyusahkan rakyat.

Yang terbaru berlaku di Kelantan membabitkan tindakan Ladang Rakyat yang mengambil tanah yang diterokai berpuluh tahun oleh rakyat negeri itu.

Ditugaskan pula parti perkauman DAP untuk menggunakan strategi agresif di bandar dengan memburuk-burukkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan konotasi sudah lama dalam politik. Hakikatnya pemimpin pembangkang yang lama dalam politik tidak pula ditanya seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Maka ditambah pula 'sudah lama di tampuk' yang menunjukkan seolah-olah Abdul Taib terlalu lama dan tidak membuat sebarang sumbangan. Mereka tidak sekali-kali menyebut sumbangan Abdul Taib sebaliknya melabelkan beliau sebagai orang yang sudah terlalu lama dan perlu turun.

Jika begitu, Kit Siang dan Karpal pun perlu turun. Adakah mereka hendak tunggu kapal tenggelam baru hendak terjun ke dalam air? Atau bersedia untuk memindahkan kepakaran berpolitik di dunia ke akhirat?

Propaganda DAP agar rakyat terutama orang Cina membenci Abdul Taib dijalankan hampir setiap hari. Dalam ceramah mereka menggunakan bahasa Mandarin, Abdul Taib diperlihatkan sebagai seorang yang rakus, tamak dan hanya memikirkan kepentingan diri.

Malah mereka juga sanggup membuat poster yang menyatakan pemimpin Sarawak yang lama seperti anjing tua termasuk Tan Sri Alfred Jabu dan Tan Sri Dr. George Chan.

Dalam poster mereka, apa yang dibuat oleh BN semuanya tidak betul dan merugikan rakyat. Bayangkan mereka boleh memutarkan "Satu Malaysia menjadi Sapu Malaysia" semata-mata pertama untuk memburuk-burukkan 1Malaysia itu sendiri dan kedua mengaitkan dengan tohmahan rasuah.

Apakah mereka sudah lupa bahawa Gagasan 1Malaysia itu adalah pendekatan untuk mendahulukan rakyat? Kempen yang banyak diterajui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sudah mula menakutkan pembangkang kerana di mana saja orang menyebut 1Malaysia. Malah Kerajaan Negeri PKR Selangor juga mengharamkan penggunaan 1Malaysia.

Inilah propaganda pembangkang di Sarawak paling berjaya sehingga memikat hati pengundi Cina negeri itu yang selama ini banyak mendapat faedah daripada BN seperti kewujudan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi di merata tempat sama ada di Kuching, Miri, Bintulu atau Sibu. Melainkan mereka yang menyokong DAP ini adalah daripada kumpulan pelupa atau tidak mahu mengenang budi pemimpin BN termasuk dari kaum mereka.

Pendekatan propaganda agresif ini ditujukan kepada kumpulan di atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon parti yang bertanding. Maka pembangkang terus mendodoikan kumpulan atas pagar ini dengan cerita buruk sehingga pengundi menterjemahkan dalam undi mereka.

Lebih malang mereka sanggup memainkan sentimen perkauman termasuk mempersoalkan mengapa Dr. George Chan tidak berkahwin dengan Cina sebaliknya berkahwin dengan bukan Cina semata-mata untuk menambat hati pengundi Cina.

Apa salahnya berkahwin dengan orang Bidayuh atau Iban? Apakah ini bertentangan dengan masyarakat Cina yang tidak boleh berkahwin dengan kaum lain? Sebenarnya inilah permainan DAP yang mahu menimbulkan rasa kurang senang pengundi Cina termasuk kepada pemimpin BN dari kaum Cina sekalipun.

Di sebaliknya, kerajaan BN terus melakukan usaha yang mendahulukan rakyat. Contohnya Klinik 1Malaysia dan pemberian netbook secara percuma kepada masyarakat yang memerlukan. Usaha kerajaan mengadakan Kampung Tanpa Wayar menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mewujudkan jalur lebar di seluruh negara juga adalah untuk rakyat.

No comments:

Post a Comment