Wednesday, April 13, 2011

2Din

Pendirian tegas ‘dua Din’

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

BEBERAPA pemimpin kanan DAP dikatakan tidak senang duduk apabila dua pemimpin Pas menyatakan mereka bersetuju suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Bagi pemimpin DAP, jika mereka dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersetuju dalam sesuatu isu, maka Pas perlu menurutnya.

Ketidakpuasan hati DAP berlaku selepas Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan, diikuti pula oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Walaupun kedua-duanya memberi syarat terhadap penubuhan tersebut, namun apa yang penting mereka bersetuju demi memastikan kebenaran dapat ditegakkan. Sekalung tahniah kepada ‘dua din’ iaitu Nasrudin dan Salahuddin kerana pendirian tegas mereka dalam soal itu.

Mungkin kedua-dua mereka menyedari ‘ancaman’ yang dihadapi Pas sekarang berikutan kenyataan beberapa pemimpin kanan parti itu yang sebelum ini menolak penubuhan suruhanjaya tersebut.

Salahuddin dan Nasrudin muncul dengan reaksi berbeza kerana mereka memahami bahawa di peringkat akar umbi, isu video seks itu sudah menjadi bualan hangat di kalangan ahli-ahli Pas. Mereka menjadi keliru untuk mempercayai atau tidak penglibatan seorang pemimpin pembangkang di dalam video berkenaan.

Apatah lagi ketika mereka tertanya-tanya kebenarannya, pemimpin mereka pula secara terburu-buru menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja. Kenyataan tersebut mengakibatkan Pas dikategorikan bersama-sama dengan PKR dan DAP menolak sebarang isu yang dilihat tidak akan menyebelahi mereka.

Keadaan ini sudah tentulah merimaskan penyokong-penyokong Pas kerana mereka tidak mahu parti itu hanya menjadi ‘pak turut’ sahaja, sedangkan di dalam Islam yang benar itu benar yang batil itu batil. Kebenaran perlu diusahakan dan ditegakkan dengan apa cara sekali pun.

Oleh itu, walaupun menyedari pendirian mereka mungkin tidak akan sehaluan dengan persetujuan pemimpin-pemimpin dalam pakatan pembangkang, namun Salahuddin dan Nasrudin mempunyai pandangan sendiri.

Tindakan ‘dua Din’ ini harus dipuji kerana sekurang-kurangnya mereka memberi isyarat bahawa mungkin dalam soal menjalin kerjasama politik bagi meraih kuasa, tidak salah Pas dilihat sehaluan dengan PKR dan DAP. Tetapi dalam isu tertentu Pas, perlu mempunyai pendirian tersendiri. Apatah lagi konsep perjuangan Pas sama sekali berbeza dengan kedua-dua parti berkenaan.

Jika PKR dan DAP berdolak-dalik dalam isu video tersebut kerana dilihat boleh memberi bencana politik kepada mereka, Pas tidak boleh berbuat demikian. Tanggungjawab Pas adalah berasaskan kepada konsep amar makruf nahi mungkar. Inilah yang cuba disampaikan oleh Salahuddin dan Nasrudin melalui kenyataan mereka.

Walaupun memahami dari segi politik ia tidak akan menguntungkan mereka, apatah lagi menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, namun kedua-dua mereka tidak mempedulikan itu semua.

Apa yang lebih penting, kebenaran di sebalik isu video tersebut perlu dicari. Jika rakaman video berkenaan tidak melibatkan pemimpin pembangkang yang dimaksudkan, sudah pastilah ia akan memberi keuntungan politik kepada pembangkang.

Adalah sesuatu yang rugi jika ahli atau pemimpin Pas ‘menghukum’ kedua-dua pemimpin berkenaan dengan alasan tidak sekata dengan pucuk pimpinan.Sedangkan kalau dikaji berbeza pendapat dan pandangan adalah perkara biasa. Apa yang penting ia menjurus kepada usaha menegakkan kebenaran.

Oleh itu, DAP sepatutnya tidak berasa marah atau kecewa dengan pendirian Salahuddin dan Nasrudin. Ikatan politik yang dijalin tidak semestinya bermaksud pemimpin-pemimpin Pas perlu dilihat seperti ‘kerbau dicucuk hidung’, ikut sahaja apa kata DAP dan PKR.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
TAJUK-

No comments:

Post a Comment