Sarawak di ambang politik perkauman pembangkang
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/04/21
APAKAH politik berbau perkauman sudah menular ke Sarawak? Itulah persoalan yang timbul selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 Sabtu lalu, menyaksikan Barisan Nasional (BN) masih diberi mandat dua pertiga, namun hilang sokongan pengundi Cina.
BN menang di 55 daripada 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tewas di 13 daripada 15 kawasan majoriti pengundi Cina. Enam lagi kawasan BN tewas masing-masing di dua kawasan majoriti pengundi Iban iaitu Krian dan Pelagus, selain satu kawasan majoriti Orang Ulu di Ba'kelalan.
Click Here
Ketika Bumiputera Sarawak masih memberi kepercayaan kepada BN - parti untuk semua kaum, yang sejak merdeka lagi memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan, kaum Cina jelas terpengaruh dengan politik berbau perkauman dan pecah-belah yang dibawa oleh DAP.
Sedang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang ditubuhkan pada 4 Jun 1959, juga parti politik tertua di Sarawak yang mewakili kaum Cina Sarawak selama ini, sudah dilihat tidak lagi relevan sehingga Presidennya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, pun turut tersungkur di kerusi DUN Piasau pada pilihan raya berkenaan.
Apa lagi yang orang Cina mahu? Itulah persoalan yang timbul kerana semuanya sudah diberikan kerajaan BN selama ini, daripada segala kemudahan prasarana, kepada kemudahan pendidikan sekolah rendah, ke sekolah menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT), peluang pekerjaan dan ekonomi, semuanya sudah disediakan.
Apa yang pasti pengundi Cina terpengaruh dengan taktik kotor DAP yang mengapi-apikan isu berbau perkauman, melakukan provokasi, mencaci cerca pucuk pimpinan negeri dan menggunakan bahan kempen yang dianggap paling kotor serta menjijikkan dalam sejarah kempen pilihan raya di Sarawak, sehingga memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) campur tangan menurunkan bahan kempen berkenaan.
Kalaulah isu pucuk pimpinan Sarawak sudah lama yang dimainkan oleh DAP sehingga ke tahap sanggup melancarkan kempen kotor dan melampau menjadi punca, maka tindakan pengundi Cina itu boleh diibaratkan 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah banyak kali mengulangi komitmennya untuk berundur dan melakukan peralihan kuasa dengan lancar, namun DAP tetap memanipulasi isu berkenaan, sehingga sanggup mengenepikan terus jasa Abdul Taib sepanjang 30 tahun menerajui Sarawak. Bukan saja kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan Melanau serta suku etnik yang lain, malah kaum Cina juga sudah banyak menerima manfaat daripada kepimpinan Abdul Taib.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut turun membantu pada hari terakhir kempen, menerusi laman blognya mengucapkan tahniah kepada Abdul Taib, selaku Pengerusi BN Sarawak, juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang banyak membantu sepanjang kempen bagi memastikan kemenangan besar BN.
Namun secara sinis beliau turut mengucapkan tahniah kepada DAP kerana berjaya membawa politik rasis ke Sarawak, kerana sebelum ini semua kaum di Sarawak bekerjasama dengan baik antara satu sama lain, sehinggalah DAP berjaya mempengaruhi majoriti pengundi Cina supaya menolak politik untuk pelbagai kaum dan memilih untuk memisahkan kaum Cina dengan kaum lain di Sarawak.
Apa pun semuanya sudah berlalu dengan rakyat Sarawak yang mempunyai lebih 30 suku etnik sudah pun membuat pilihan. Terpulang kepada 71 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih, tak kira di pihak kerajaan, mahu pun pembangkang untuk menggalas amanah yang diberikan dalam tempoh lima tahun ini.
Perdana Menteri dan timbalannya sudah memberi jaminan bahawa BN akan menunaikan segala janji yang diberikan BN sepanjang 10 hari berkempen. Pastinya 55 ADUN BN tidak perlu gusar kerana mereka mewakili BN yang mempunyai kekuatan jalinan hubungan antara pimpinan di peringkat negeri dan Pusat.
Najib sendiri mengingatkan wakil rakyat BN yang dipilih supaya memikul amanah itu dengan penuh rasa tanggungjawab, selain mesti kerap turun padang untuk mendengar suara dan nadi rakyat, supaya segala permasalahan yang dibangkitkan dapat ditangani segera.
Bagaimana pula dengan 12 wakil rakyat DAP, tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang wakil rakyat Bebas, yang akan duduk di kerusi pembangkang pada sidang DUN Sarawak yang dijangka diadakan minggu kedua bulan depan.
Pembangkang juga banyak menabur janji dan penduduk di 16 kawasan DUN yang memberi kepercayaan kepada mereka pasti ternanti-nanti untuk mereka menunaikan janji berkenaan. Jangan pula mereka mencari alasan untuk tidak melunaskan janji kepada rakyat, kerana rakyat sudah memberi mandat dan mereka harus memikulnya sebagai satu amanah. Sama ada mereka berjaya atau tidak membentuk kerajaan, janji tetap janji.
No comments:
Post a Comment