Tuesday, April 19, 2011

DatukT Berhadapan Tindakan Mahkamah

Trio 'Datuk T' berhadapan tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR 18 April - Trio 'Datuk T' mungkin berhadapan tindakan undang-undang jika Peguam Negara (AG) memutuskan pendakwaan atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang pelakon lelakinya didakwa mempunyai mirip wajah seorang pemimpin parti pembangkang baru-baru ini.

Tindakan terhadap ketiga-tiganya iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim boleh dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pendakwaan itu bergantung kepada AG yang akan membuat keputusan selepas melihat laporan hasil siasatan polis.

"Ada kemungkinan (pendakwaan), tetapi polis membuat tindakan apabila mendapat keputusan AG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, polis dijangka menyerahkan laporan lengkap siasatan rakaman video seks itu kepada AG, Rabu ini, berikutan masih terdapat beberapa perkara lagi perlu diselesaikan.

"Namun, itu adalah cadangan tarikh penyerahan dan ia belum dipastikan lagi, memandangkan hingga kini masih ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan dalam laporan itu," katanya.

Bagaimanapun, difahamkan pihak polis masih buntu dengan satu lagi bukti kes iaitu jam tangan Omega yang sehingga kini masih belum dipastikan pemiliknya.

Dalam perkembangan sama, ditanya tentang dakwaan penahanan seorang wanita yang dipercayai pelacur dari China yang juga 'pelakon' video terbabit, Acryl Sani menafikan perkara itu.

Beliau turut menolak dakwaan, pihak polis telah menemui wanita yang dapat membantu siasatan kes tersebut.

"Wanita China itu tiada dalam tahanan kami," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment