Raja Petra serlah wajah sebenar Anwar
KUALA LUMPUR 15 April - Pendedahan Raja Petra Kamaruddin mengenai rancangan tersusun untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendedahkan sikap sebenar 'majikannya' sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Hamizun Khairuddin berkata, sebagai antara pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan individu yang sangat dekat dengan Anwar, Raja Petra pastinya mengetahui niat dan rancangan sebenar Ahli Permatang Pauh itu dalam usahanya untuk berkuasa.
''Pendedahan Raja Petra ini membabitkan maklumat yang luar biasa dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana ia mendedahkan sikap dan wajah sebenar Anwar.
''Polis juga perlu menjalankan siasatan terhadap individu yang dikaitkan oleh Raja Petra dalam usaha memfitnah Perdana Menteri dan isteri," kata beliau.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan pengendali laman web antikerajaan, Raja Petra bahawa Anwar semakin hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin pembangkang kerana krisis dalaman parti pembangkang dan masalah peribadi.
Dalam wawancara eksklusif siri kedua yang disiarkan menerusi Buletin Utama di TV3 semalam, Raja Petra yang merupakan antara rakan karib Anwar menambah, Penasihat PKR itu juga tidak lagi dihormati dalam pembangkang.
Dalam perkembangan sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, pendedahan Raja Petra semakin menguatkan hakikat bahawa Anwar bukanlah pemimpin berwibawa, jauh sekali layak untuk memimpin negara.
Beliau menambah, pendedahan Raja Petra juga melengkapkan sekian banyak isu dan skandal moral yang dikaitkan dengan Anwar termasuk kes liwat, rakaman video seks, pembohongan 16 September, pluralisme agama dan banyak lagi.
"Hanya pemimpin pembangkang seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Karpal Singh dan Lim Kit Siang sahaja yang percaya dan terus diperbodohkan Anwar," katanya.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman pula berkata, kredibiliti Anwar sebenarnya sudah lama hilang sebelum pendedahan Raja Petra lagi apabila seorang demi seorang yang pernah berjuang bersama beliau meninggalkannya.
Justeru katanya, rakyat perlu menilai dengan bijak segala pendedahan yang dibuat berkenaan Anwar kerana ia datang daripada individu yang sangat dekat dengan pemimpin pembangkang itu termasuk Raja Petra.
''Nilailah kredibiliti Anwar selepas pembohongan dan isu moralnya didedahkan serta janji-janjinya yang tidak pernah ditunaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment