Kerana kepentingan DAP, kesejahteraan negara dipertaruhkan
DAP sekali lagi cuba bermain api dengan menanam bibit-bibit kebencian apabila menuduh kerajaan mengamalkan idea-idea pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler yang bersifat diktator, kejam dan membezakan warna kulit.
Nampak sangat Setiausaha Agung parti cauvanis Cina itu, Lim Guan Eng sudah kehabisan modal politik apabila cuba menyamakan kerajaan sekarang dengan pemimpin sekejam Hitler.
Adalah amat melampau dan berbahaya membuat tuduhan seperti itu yang bukan sahaja tidak berasas sama sekali tetapi boleh mencetus perasaan tidak senang antara kaum.
Keharmonian kaum yang dipupuk sejak merdeka akan menjadi sia-sia jika unsur-unsur seperti ini dibiarkan meresap di jiwa rakyat.
Jika benar dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu, hari ini mungkin kita tidak dapat melihat orang bukan Melayu menguasai ekonomi negara atau muncul sebagai orang terkaya di negara ini.
DAP juga mungkin tidak akan dapat memerintah Pulau Mutiara itu dan Guan Eng sendiri tidak akan dapat merasai kerusi empuk Ketua Menteri.
Membuat kenyataan seperti itu memang mudah kerana ia tidak bersandarkan fakta. Ini adalah satu kenyataan yang sungguh tidak bertanggungjawab, berbaur hasutan dan berat sebelah dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang sejak sekian lama menikmati kebebasan berpolitik di negara ini.
Kita tidak dapat menolak kemungkinan kenyataan yang meniti di atas buih-buih perkauman ini, mempunyai agenda tersembunyi. Adakah DAP cuba mengapi-apikan isu perkauman di negara ini ketika orang Melayu kelihatan lemah dan berpecah sesama sendiri?
Apakah DAP tidak mahu belajar daripada sejarah tragedi 13 Mei apabila api kebencian antara kaum yang dinyalakan oleh parti pembangkang menjadi besar dan tidak terkawal sehingga mengorbankan banyak nyawa dan merosakkan harta benda?
Apakah kita mahu melihat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini dimusnahkan dalam masa yang singkat oleh kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan bersifat berat sebelah ini?
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan pemimpin pembangkang itu sebagai tidak berpijak di bumi nyata dan bermotif politik semata-mata.
Kenyataan melampau dan tidak bertanggungjawab ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kementerian Dalam Negeri perlu bertindak tegas mengikut lunas undang-undang terhadap mereka yang cuba menyemai bibit-bibit perkauman ini.
Teks ucapan Guan Eng kepada penganut Kristian sempena Hari Easter itu perlu diteliti secara terperinci. Banyak tuduhan tidak berasas dihalakan kepada pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri, antaranya berhubung isu percetakan Injil dalam bahasa Melayu.
Kita tidak seharusnya membiarkan agama dipergunakan untuk kepentingan politik dan perkauman sempit. Lakukan sesuatu supaya keharmonian kaum dan beragama selama ini tidak dimusnahkan oleh pemimpin seperti ini.
Kita mendesak Guan Eng supaya menarik balik teks ucapannya itu dan meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negara ini yang cintakan keamanan. Sebagai pemimpin, beliau perlu bertanggungjawab di atas setiap tutur kata dan perbuatannya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment