Lepas Interlok, Kamus Dewan pula
Oleh Ku Seman Ku Hussain
KALAU hendak diikutkan hati, saya memang bosan untuk menulis tentang Interlok lagi. Rasa kesal ada, kecewa ada dan marah yang paling ketara kerana dengan mudah sebuah novel Melayu menjadi jerangkap samar politik.
Ada pihak seolah-olah mengugut, kalau tidak diambil tindakan, jerangkap samar mungkin meletup.
Kerajaan sangat baik hati, rungutan itu diberi perhatian dan tindakan ke arah menyelesaikan masalah dilaksanakan segera.
Tetapi kerana Interlok bukan isu sastera atau bahasa sebaliknya modal politik, ia tidak selesai selepas berpenat lelah menyelesaikan.
Interlok memberi banyak pengajaran kepada kita semua terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Walaupun bukan salah DBP tetapi beberapa kelompangan dalam penyuntingan Interlok membuka ruang kepada anasir jahat memperalatkan Interlok.
Apabila riuh rendah seolah-olah Interlok sebuah jerangkap samar yang menunggu masa untuk meletup, yang bagusnya kita boleh tengok sendiri pengaruh sastera kepada manusia.
Selepas Interlok, MIC buat onar lagi. Kali ini mendakwa Kamus Dewan terbitan DBP dimuatkan dengan istilah-istilah yang menyinggung puak-puak India.
Kamus Dewan bukan diterbit bulan ini atau tahun ini. Kamus Dewan telah lama diterbitkan tetapi hanya kini dijadikan isu oleh MIC.
Bagi saya, semua ini adalah serangan politik untuk menguji ketahanan politik Melayu. Tidak ada kena mengena dengan bahasa Melayu, sastera Melayu atau istilah yang dikatakan menyinggung puak India.
Cuma yang ada adalah sikap buruk berpolitik yang mengambil peluang daripada sikap terbuka dan tolak ansur kerajaan.
Maka langkah yang tepat adalah jangan melayan tuntutan yang paling mengarut ini.
Sudah tentu selepas ini MIC akan menggunakan saluran politik kerana kedudukannya dalam Barisan Nasional untuk mendesak, seperti mereka lakukan dalam isu Interlok.
Biarkan, jangan hirau dan sama sekali jangan membiarkan Kamus Dewan pula menjadi mangsa “kelembutan” kita yang akhirnya tidak dihargai.
Biarlah dalam isu Kamus Dewan kita berkeras kerana sudah jelas, isunya bukan bahasa.
Isunya adalah politik puak India yang menguji pasaran politik Melayu.
Kita sudah berlembut, tetapi janganlah sampai membiarkan kepala dipijak.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment