Monday, April 11, 2011

1 vs 3


Depa auta pengundi, kelentong rakyat, penduduk akhirnya sengsara

Hassan Mohd. Noor

Poster yang tertera 1Malaysia vs 3 Malaysia yang dipasang di Jalan Padungan, Kuching.

TUMPUAN parti politik kini terarah ke Sarawak. Ramai penceramah berkempen di pentas pilihan raya yang ke-10 itu. Barisan Nasional (BN) dan pembangkang khususnya Trio Semenanjung - PKR, DAP, Pas turut menurunkan penceramah masing-masing.

BN tentulah dengan janji pembangunannya sementara trio pakatan membangkitkan apa sahaja untuk ‘menyerang’ BN. Maka dalam keghairahan berkempen ini, disebabkan tidak ada modal, individu dijadikan sasaran. Inilah modal yang sering digunakan pembangkang. Di Sarawak, Abdul Taib Mahmud turut ‘diserang’ hanya kerana beliau menjadi ketua menteri (KM) sejak penceramah politik itu masih di bangku sekolah rendah. Apa silap, salah dan dosa Abdul Taib? Inikan demokrasi pilihan rakyat? Sebenarnya ketika dia berkata demikian, dia lupa demokrasi ala pembangkang. Lupa menyebut, ketika dia di sekolah, kemudian masuk universiti, bekerja dan terlibat dalam barisan depan politik, orang yang sama terus memimpin parti politik dan menjadi wakil rakyat.

Contoh terdekat ialah dalam trionya sendiri iaitu Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kit Siang, 70 menjadi wakil rakyat sejak 1969. Beliau hampir bersara daripada politik selepas kalah pilihan raya tetapi membatalkannya. Mungkin penceramah itu akan berkata, Kit Siang bukan memimpin negeri. Tetapi bagaimana kalau dia juga menjadi KM pada 1969? Mungkin dia akan tetap di situ sehingga hari ini. Begitu jugalah dengan Karpal, 71, menjadi wakil rakyat sejak 1974.

Seseorang yang kini berusia 20 tahun juga boleh bercakap mengenai Nik Aziz yang menjangkau usia 80, menjadi wakil rakyat sejak 1967 dan menjadi Menteri Besar (MB) selama 20 tahun. Dia boleh berkata, ketika di sekolah rendah, Nik Aziz ada di situ, masuk sekolah menengah kemudian universiti dan akhirnya bekerja, Nik Aziz tetap di situ. Kenapa tidak dipersoalkan apakah tidak ada orang lain?

Kata orang Penang, pi mai pi mai tang tu. Kenapalah cemburu sangat terhadap seseorang pemimpin sehingga tidak ada modal lain? Akhirnya jadilah macam tepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Turut ‘dibedal’ ialah Najib Tun Razak serta UMNO yang tidak ada cawangan di Sarawak.

Carilah modal lain, usahlah guna modal angin dan terus memainkan peranan kelirukan rakyat menjelang pilihan raya.

Sejak dulu tema pembangkang ialah change atau ubah. Ini tema kegemaran DAP. Penceramah PKR mengambil contoh bagaimana mereka mengubah Selangor dan Pulau Pinang. Mereka kononnya menyelamatkan tanah, menjaga kebajikan rakyat, berjaya menarik pelaburan dan macam-macam lagi yang baik-baik belaka. Apa yang mereka ubah? Dalam keadaan terdesak penceramah kelentong rakyat, kelirukan rakyat dan cuba perbodohkan anak Sarawak. Maka hati-hatilah supaya tidak terjadi seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Jangan biarkan labu yang ada dibaiki tikus. Tahu maksud bagai tikus membaiki labu?

Apabila penceramah itu berkata, UMNO Selangor tidak ada tokoh sehingga Najib dilantik sebagai ketua perhubungan, maka dia buat-buat lupa apabila MB juga tidak diberi kepercayaan memimpin parti di peringkat Selangor. Maknanya dua kali lima, lima kali dua. Dia juga lupa sebelum ini siapakah yang dinobatkan untuk pimpin PKR di Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Inilah demokrasi ala pembangkang. Apa yang mereka buat semuanya benar, tetapi apabila BN lakukan atau melibatkan jentera kerajaan, macam-macam dakwaan dikenakan. Bayangkan apa desakan dan tawaran Pas, PKR dan DAP kepada keluarga mangsa jika kes ustaz pukul murid sehingga membawa kematian melibatkan guru sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran? Bukan sekadar satu Malaysia, tetapi satu dunia trio ini akan pusing berkempen hentam kerajaan. Mungkin diminta tubuh suruhanjaya siasatan diraja.

Kembali kepada penceramah tadi, kenapa tidak dibangkitkan tidak adakah anak Pulau Pinang yang mampu jadi KM? Mungkin akan dijawab ‘kitakan 1Malaysia!’ Tetapi apabila terpampang poster atau perkataan 1Malaysia, masing-masing kelam kabut. Semuanya hendak diturunkan. Marah sangat dengan 1Malaysia bersama potret Najib. Tetapi kelmarin, Nik Aziz turut menunjukkan isyarat 1Malaysia bersama Najib. Syukur Alhamdulillah!

Sebut pasal Pulau Pinang, teringat isu flat Rifle Range atau Flat Padang Tembak. Menyelak kembali kenangan lalu, dua puluh lima tahun lalu, ketika mula-mula mengenali dunia pekerjaan di negeri itu, penulis pernah menumpang tinggal bersama Abang Chak (sepupu) di salah satu blok flat ini. Hari-hari naik bas MPPP atau ‘bas hijau’ ke tempat kerja di Jalan Argyll. Waktu pagi, ada kanak-kanak yang naik dari satu tingkat ke satu tingkat sambil melaungkan nasi...lemak...kuih....kuih.

Waktu malam ketika pulang, singgah beli mi kuah di gerai Melayu yang menumpang di restoran Cina. Begitulah kehidupan di flat Padang Tembak yang rata-rata penghuninya bukan orang senang. Tetapi ketika itu era Dr. Lim Chong Eu.

Kini di bawah era Lim Guan Eng. Baru-baru ini beliau gelabah sikit apabila mendapat tahu pemimpin 1Malaysia akan turun padang ke Padang Tembak. Guang Eng terpa ke sana untuk melawat flat itu. Semuanya gara-gara pengundi ‘menyanyikan’ lagu mana janji mu. Dulu, pada 2007 sebelum pilihan raya, Anwar Ibrahim pernah berkempen. Katanya:‘‘Saya cakap kalau piihan raya umum bulan 12, kalau PKR menang bagi saya satu bulan sama-sama dengan DAP dan Pas, bagi saya satu bulan saja, saya kasi bersih dan cat seluruh Padang Tembak”. (Selak isu ini dalam YouTube)

Tetapi dah masuk 37 bulan, jangankan cat, berus pun belum ada. Yang ada hanya slogan CAT (competency, accountability, transparency) kerajaan negeri. DAP pula seperti ‘cuci tangan’ dengan janji Anwar malahan menawarkan kepada orang lain ‘menjilat ludah’ mereka. Padahal DAP, PKR, Pas menggelarkan diri pakatan rakyat tetapi hakikatnya di kalangan mereka ada yang lontar batu sembunyi tangan.

Betullah kata sahabat saya: Kalau ini macam punya kelentong rakyat, depa ada pakat ka? Depa auta penduduk, sana sini auta, penduduk akhirnya susah.

Itu baru sekelumit janji. Entah bagaimana dengan janji Buku Jingga? Harap-harap Buku Jingga tidak bertukar menjadi janji peringkat jingga (istilah amaran tahap bahaya satu-satu bencana).

Apa pun Selak tertarik dengan kenyataan seorang penduduk Padang Tembak dalam Buletin Utama TV3 baru-baru ini. Lebih kurang begini: ‘‘Tipu pun lima tahun saja, tak boleh lama punya...lima tahun dia habis ...hantar balik kampung’’.

Seorang lagi berkata: ‘‘Bukan sikit punya tipu, cakap pandai bikin tak boleh’’.

Ada pula yang kata: ‘‘Kalau tak boleh bikin jangan cakap, kalau sudah cakap mesti mau bikin’’. Janganlah perguna kuasa rakyat semasa pilihan raya kerana akhirnya pengundi akan sengsara.

No comments:

Post a Comment