Saturday, April 16, 2011

RPK

Pengakuan RPK tamparan terhebat pembangkang

Oleh ROHANA MAN

PENGAKUAN Raja Petra Kamaruddin (RPK) bahawa beliau tidak menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.

RPK mendakwa beliau telah didesak dan dipengaruhi beberapa individu untuk membuat Akaun Bersumpah (SD) pada 18 Jun 2008 oleh pihak yang tidak mahu melihat Najib mengambil alih kepimpinan negara selepas peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sudah tentu pengakuan itu membuatkan banyak pihak memberikan persepsi tersendiri, termasuk mempersoalkan kenapa RPK mengambil masa hampir tiga tahun untuk mendedahkan perkara sebenar. Dalam tempoh itu, banyak pihak menderita dan terpaksa menanggung aib terhadap perbuatan yang tidak mereka lakukan.

Terlintas juga di fikiran bahawa pengakuan RPK itu terpaksa dibuat kerana mahu pulang ke tanah air kerana mungkin tidak ada lagi pihak yang sanggup menaja kehidupannya di London. Walau apa pun yang difikirkan dan disangka oleh pelbagai pihak, terpulang kepada kita untuk membuat penafsiran sendiri terhadap isu ini.

Apa yang pasti, pengakuan itu telah membersihkan nama Najib dan isteri yang tercemar kerana fitnah tersebut. Kebenaran akhirnya menghampiri insan-insan yang sabar dan jujur dalam menangani sesuatu isu atau masalah berbangkit.

Pengakuan RPK yang muncul dalam dua siri temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah seperti yang disiarkan televisyen swasta itu, dua hari berturut-turut sehingga kelmarin sewajarnya diterima dengan hati terbuka dan fikiran positif.

Mungkinkah RPK kini insaf dan mahu kembali ke pangkal jalan setelah menyedari tersilap langkah. Mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian, pengakuan jujur yang disiarkan secara langsung itu nampaknya memberi tamparan hebat kepada pihak pembangkang, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kegagalan pihak pembangkang menubuhkan kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 seperti yang telah dicanang di seluruh negara benar-benar melunturkan harapan para penyokong mereka untuk kekal setia.

Kesannya telah dapat dilihat apabila seorang demi seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti, selain ahli parti itu yang keluar beramai-ramai sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Jadi, buat apa tunggu lagi, lebih baik angkat kaki keluar dari parti yang semakin songsang itu.

Kemelut dan krisis dalaman parti membuatkan sesiapa sahaja muak dan akhirnya memutuskan untuk tidak mahu lagi berada dalam kumpulan bermasalah itu. Akhirnya RPK sendiri cabut lari dan menjauhkan diri daripada perjuangan yang sia-sia itu.

Jika RPK masih tidak mempunyai kesedaran itu, tentu sampai sekarang beliau akan bermati-matian mempertahankan pemimpin pembangkang tersebut. Tentu juga sampai kini, beliau terus berada di London sambil sibuk mengemaskini blog miliknya dengan menulis ayat-ayat fitnah yang mengeji kerajaan pusat dan para pemimpin pusat.

Bersyukurlah, RPK akhirnya sedar bahawa pihak pembangkang hanya pandai menabur janji-janji kosong, selain sanggup menghalalkan cara demi kepentingan politik. Itulah sikap pembangkang yang tidak mahu diubah sehingga akhirnya kini memakan diri.

Untuk RPK, selamat kembali ke dunia realiti yang mana kebenaran akhirnya terserlah juga, hanya masa menentukan segalanya.

No comments:

Post a Comment