Kekang sentimen cauvinis
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
"TIDAK salah saya katakan terdapat kempen-kempen berunsur perkauman di seluruh bandar besar di Sarawak khususnya yang dimainkan oleh DAP. Banyak orang berpandangan sedemikian, bukan saya seorang."
Reaksi itu dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan ia cara kempen baru DAP pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 tempoh hari. Dan tidak mustahil 'Sarawak, Jom Ubah' ini akan diperhebatkan oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Masalah yang membelenggu SPR ketika ini ialah hampir sebahagian besar sepanduk dan poster yang berunsur perkauman itu - sama ada berupa sindiran, fitnah dan dakyah - bertulisan Cina.
Tulisan itu terlalu asing buat Wan Ahmad dan pengertiannya pun diterjemahkan oleh beberapa anggota penguat kuasa kempen suruhanjaya itu yang berketurunan Cina.
Suatu malam 14 April lalu ketika Wan Ahmad dan anggota penguat kuasanya sedang meronda di sekitar bandar raya itu, mereka menyaksikan begitu banyak sepanduk bertulisan Cina berbau perkauman.
"Sepanduk-sepanduk sebegitu lebih condong kepada pelanggaran Seksyen 4 Akta Pilihan Raya. Tapi ia terlalu banyak di Miri menyebabkan pegawai SPR dan polis tidak boleh berbuat apa-apa... hendak diturunkan terlalu banyak pula. Sama ada soal nak turun atau tidak, mesej yang dibawa oleh sepanduk itu memang boleh mencetuskan kemarahan dan kebencian sesiapa pun," kata beliau ketika dihubungi akhbar ini semalam.
Beliau menarik perhatian daripada laporan akhbar memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai ungkapan api perkauman daripada mulut calon DAP Pending, Violet Yong Wui Wui.
"Dia dikatakan ada membuat kenyataan 'dah cukup masa orang Melanau jadi CM (Ketua Menteri Sarawak) tapi ceramah itu dibuat dalam bilik tertutup.
"Dilaporkan terlalu banyak ceramah tertutup dibuat semasa kempen pilihan raya itu," katanya sambil menyifatkan itu adalah 'taktik terbaik' daripada DAP untuk memancing undi masyarakat Cina.
Berlandaskan sebab-sebab inilah maka SPR sedang bersiap sedia untuk mengekang sepanduk-sepanduk dan poster yang cuba memainkan api perkauman pada pilihan raya umum akan datang.
Tegas Wan Ahmad, perkataan-perkataan yang tidak ada 'perasaan langsung' dan menghentam keterlaluan peribadi calon serta menjengkelkan tertera di sepanduk-sepanduk yang dipasang parti-parti bertanding akan diturunkan serta-merta. Tindakan dan pemantauan SPR akan diperhebatkan pada saat-saat menjelang pengundian.
"Kalau DAP meniru daripada apa yang mereka lakukan di Sarawak pada pilihan raya umum nanti, tidak mustahil api perkauman akan merebak," kata Wan Ahmad.
Itu luahan hati SPR. Pengalaman penulis sendiri membuat liputan pilihan raya negeri itu dalam 10 hari berkempen merasai sesuatu yang tidak kena dalam cara berkempen DAP. Ini ketara dengan pemasangan sepanduk-sepanduk di bulatan-bulatan jalan raya dan sudut srategik di bandar Sibu, Miri dan Bintulu.
Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi bahan momokan dan sindiran tajam DAP paling popular meskipun ramai mengakui sumbangannya yang bukan sedikit dalam memesatkan ekonomi ketiga-tiga bandar utama Sarawak itu.
Sentimen dan sindiran ke atas Abdul Taib, jika 'dibaca' dua kali lebih terarah kepada gesaan supaya disingkirkan etnik tertentu daripada memegang tampuk kerusi Ketua Menteri.
Penganalisis, Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff percaya jika kempen cauvinis DAP ini tidak dibendung mengikut undang-undang, nescaya bahang perkauman akan berleluasa bukan sahaja sebelum kempen pilihan raya malah akan merebak berterusan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Ia terlalu berbahaya, tegas pensyarah kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu.
Bagaimanapun dalam isu post mortem pilihan raya Sarawak, beliau lebih tertarik untuk menyorot komitmen bukan sahaja SUPP malah MCA dan Gerakan dalam sumbangan ketiga-tiga parti komponen Cina ini kepada BN khususnya di kalangan pengundi Cina.
"MCA berkata jika mereka kalah pada pilihan raya nanti, parti itu akan keluar BN, adakah ini satu kenyataan yang jujur.
"Kalau ketiga-tiga parti ini benar-benar mahu membantu BN, mereka kenalah bersungguh-sungguh memancing sokongan masyarakat Cina, ia harus dilakukan dengan ikhlas," katanya.
Mohamad berpendapat, persediaan SUPP yang diterajui presidennya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam pada pilihan raya Sarawak itu tidak cukup untuk menidakkan kerja terancang dan tersusun DAP.
Tidak ada kerja lapangan awal dilakukan sehinggalah DUN dibubarkan. Trend jentera SUPP ialah selepas dewan dibubarkan, barulah mula sibuk. "Rakyat melihat indikator ini, malah apa yang diperhatikan SUPP lebih gemar bergerak di depan kamera dan bukannya di sebalik tabir," katanya.
Sentimen pengundi Cina mengenai pajakan tanah juga barang kali tidak diberi perhatian. Ini mencetuskan tanda tanya di kalangan pengundi muda Cina. Contohnya, pajakan tanah 99 tahun 'jatuh kepada siapa'.
"Baki yang ada untuk mendiami rumah dan tanah yang sama, katakan tinggal 20 tahun, dari datuk kepada anak dan kemudian kepada cucu (orang muda)...apa penyelesaiannya, ya, memang disediakan wang untuk membayar premium tetapi tempoh pajakan yang hampir tamat itu menimbulkan persoalan mengenai status rumah dan tanah berkenaan, ini tidak dijelaskan dengan baik oleh SUPP," katanya.
Lagi pun, kata Mohamad, pengundi berdaftar Cina di Sarawak mungkin merasakan diri mereka 'besar' kerana bilangan mereka yang lebih banyak berbanding kaum lain. Jika jumlah pengundi dipetak- petakkan mengikut kaum/etnik, pengundi Cina di negeri itu berjumlah 308,694 orang (31.5 peratus) manakala Melayu/Melanau sebanyak 269,424 orang (27.5 peratus), 283,491 Iban (28.9 peratus), 79,624 Bidayuh (8.1 peratus), 35,984 Orang Ulu (3.7 peratus) dan 5,578 lain-lain termasuk India (0.3 peratus).
"Pengundi Cina meskipun daripada Foochow, Hakka dan lain- lain, undi mereka solid atas nama Cina berbanding trend politik yang berbeza-beza boleh disaksikan daripada orang Iban, Bidayuh dan Orang Ulu," katanya.
Mohamad bagaimanapun percaya jika MCA, Gerakan dan SUPP bersatu hati membantu pucuk kepimpinan BN menjelaskan betapa pentingnya trend dan pola pengundian berteraskan 1Malaysia diterjemahkan pada pilihan raya umum, tidak mustahil kerusi-kerusi Cina yang dianggap kini 'terlalu berisiko' boleh diselamatkan.
Yang pasti, DAP akan terus menggunakan apa sahaja taktik dan 'kaedah' dalam misi 'matlamat menghalalkan cara'.
Pada kempen pilihan raya Sarawak tempoh hari, bukan sahaja Abdul Taib diterbalikkan imejnya, malah SUPP turut menjadi 'lebai malang' apabila dilabelkan sebagai orang utan dalam ceramah kempen parti itu. Ini bukan kali pertama DAP menyamakan orang lain dengan binatang.
Pada 9 November tahun lalu, R.S.N. Rayer (DUN DAP Seri Delima) mengeluarkan ungkapan: "Tindak-tanduk penyokong tersebut, serupa monyet yang menggoncang pintu pagar seolah-olah nak meruntuhkan pagar tersebut,".
Demonstrasi diadakan oleh penduduk Balik Pulau pada 2 November berikutan tindakan DAP Pulau Pinang mahu merampas tanah rakyat seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting untuk mendirikan sebuah universiti swasta. Di Sarawak, SUPP lah mangsa DAP.
Pilihan Raya Negeri Sarawak menyerlahkan kebiadapan DAP.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment