Jangan salahkan SPRM, usah lindungi yang terlibat rasuah
AMAN SHAH
Cheras, Kuala Lumpur
SAYA ingin memberi pandangan berhubung isu kematian pegawai kastam di Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kita bersimpati dengan kaum keluarga mangsa. Namun saya mendapati terdapat beberapa pihak tertentu yang telah mengambil kesempatan daripada kes tersebut bagi memenuhi agenda tersendiri.
Saya berpendapat tindakan mereka yang menuduh SPRM membunuh saksi-saksi mereka tanpa mengetahui kisah sebenar adalah amat tidak bertanggungjawab dan hanya mendedahkan sikap hipokrit mereka.
Orang ramai harus sedar bahawa SPRM hanya menjalankan tugas mereka dalam membanteras jenayah rasuah.
Selama ini, pihak SPRM hanya memenuhi tanggungjawab mereka memerangi rasuah, seiring dengan usaha kerajaan yang digariskan di bawah Program Transformasi Kerajaan atau GTP.
Oleh itu, sememang tidak masuk akal bagi mereka bertindak mencederakan saksi yang seharusnya membantu menyelesaikan kes-kes rasuah.
Saya percaya ada sebab-sebab tertentu perkara tersebut berlaku. Akan tetapi adalah amat tidak adil bagi pihak-pihak tertentu menuduh SPRM tanpa bukti kukuh, sebelum siasatan selesai.
Tindakan pihak-pihak tertentu yang menyalahkan SPRM dalam menjalankan tugas mereka juga seolah-olah memberikan perlindungan kepada mereka yang melakukan rasuah.
Sehubungan itu, saya ingin menggesa semua pihak menilai semula keadaan sedia ada dan akan lebih bertanggungjawab dalam memberi pandangan mereka.
Saya juga berharap pihak SPRM tidak akan patah semangat dalam membanteras jenayah rasuah dan akan terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa bersalah.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment