6 bukti, 'wajah' sebenar Anwar
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 April - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin semalam mengemukakan enam bukti, petunjuk dan isyarat yang menyerlahkan "wajah sebenar" Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dinilai oleh rakyat.
Beliau berkata, di sebalik solat hajat yang dianjurkan pembangkang untuk mencari kebenaran berkaitan isu membelenggu Anwar, tanpa disedari petunjuk kebenaran yang dicari itu sebenarnya sudah terbentang di depan mata mereka.
Namun, katanya, bagi yang taksub dengan manusia yang dilabel isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai "anugerah Tuhan" itu, kebenaran akan hanya diakui dan diterima oleh mereka sekiranya mereka melihat Mohd. Saiful Bukhari Azlan muncul berkudis sopak atau Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi gila.
"Sebab itu, jika ada isyarat (petunjuk) lain, mereka akan jadi PBB - Pekak Bisu Buta. Bagi yang taksub ini, cuba renung-renungkan isyarat, bukti dan keterangan yang Allah telah hantar setakat ini.
"Pertama, Anwar terbukti seorang pembohong dan satu bukti jelas adalah pembohongan 16 September. Satu dunia dia temberang dan kelentong.
"Tidak pernahkah semua bertanya dalam hati kecil, kalau Anwar boleh bohong satu dunia pasal 16 September dan langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, apatah lagi bertaubat dan meminta maaf, tidak mungkinkah dia boleh berbohong dalam hal lain?
"Kebenaran apa lagi yang kalian tunggu?'' katanya dalam entri bertajuk 'Haq Dan Kebenaran' di blognya, zul4kulim.blogspot.com.
Soal kedua, jelasnya, sikap liat Anwar untuk bersumpah laknat bagi membersihkan namanya yang dituduh meliwat Mohd. Saiful.
"Tidak pernahkah kalian bertanya, kenapa Anwar liat sangat nak bersumpah laknat? Banyak solat hajat dibuat untuk melaknat Mohd. Saiful sampai ada yang memintanya jadi cacat, gila dan kena sopak. Tetapi, mengapa yang kelihatan semakin 'dilaknat' bukannya Mohd. Saiful tetapi dia (Anwar)?'' jelasnya.
Ketiga, kata Zulkifli, berkaitan sikap liat Anwar untuk menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes tuduhan liwat berkenaan yang sebenarnya tidak sedikit pun merugikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau yakin berada di pihak yang benar.
"Bukti keempat, dalam kes rakaman video seks terbaru, mengapa Anwar melenting kata itu bukan dia walaupun tidak ada sesiapa pun yang menuduhnya. Anwar kata pada masa kejadian, dia sedang sibuk dengan Tweeter dan jam tangan Omega yang ditemui Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada pada Wan Azizah.
"Oleh itu, pernahkah kalian bertanya kenapa Twitter Anwar kosong dari pukul 9.30 hingga 11.30 malam? Kenapa Anwar dan Wan Azizah juga liat nak tunjukkan jam Omega kalau betul ada pada mereka? Kenapa kawan baiknya (Shazryl Eskay) sendiri dedahkan klip video itu?'' soal beliau.
Tambah Zulkifli, bukti kelima dan keenam yang harus difikir bersama adalah berkaitan persoalan sikap Karpal Singh yang dahulunya pernah mendedahkan kegiatan liwat Anwar pada 22 Oktober 1997 tetapi kini beria-ia menjadi peguam bela Anwar.
Selain itu katanya, mengapa begitu ramai rakan baik Anwar sebelum ini, seperti Dr. Chandra Muzaffar serta Senator Ezam Mohd. Nor bertindak lari dan kini menentangnya secara terbuka.
"Sebenarnya, banyak lagi isyarat dan petanda yang telah Allah hantar. Persoalannya, tidakkah terfikir yang Allah mungkin telah pun memberi petanda, bukti, isyarat dan amaran serta menjawab semua doa dan solat hajat memohon petunjuk itu? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment