Wednesday, January 4, 2012

r petra

Pendedahan Raja Petra sahkan 'tembelang' Anwar

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

BEBERAPA jam selepas wawancara Raja Petra Kamarudin di Singapura disiarkan oleh beberapa akhbar arus perdana, beliau terus dikecam pelbagai pihak propembangkang. Pengarang portal berita Malaysia Today itu membuat kenyataan bahawa beliau tidak lagi menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Faktor 'pengunduran' itu dibuat kerana Ketua Umum PKR itu menghadapi masalah moral yang sekali gus tidak wajar diangkat sebagai pemimpin negara.

Raja Petra berkata dalam wawancara itu, Anwar yang berdepan tuduhan liwat tidak lagi relevan dan kerjaya politiknya akan berkubur jika pembangkang gagal menakluk Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kerabat diraja Selangor itu juga kecewa dengan Anwar yang mendakwa tidak mengenali Datuk Eskay Shazryl Abdullah. Ternyata ia satu pembohongan yang ketara dilakukan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pemilik portal Malaysia Today itu juga mempertikaikan keupayaan Anwar memegang portfolio Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang tidak memberi sebarang perubahan positif kepada pertumbuhan dan kedudukan kewangan negeri itu. Dakwa beliau, masih terdapat unsur 'duit bawah meja' yang melibatkan para usahawan berbangsa Cina dalam melakukan urusan - yang sepatutnya dibanteras.

'Libasan' komen-komen Raja Petra sudah mengena. Jika tidak masakan 'tukang sorak' Kerajaan Negeri Selangor, Faekah Husin melenting. Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor itu menuntut Raja Petra memberi bukti dakwaan rasuah dalam pentadbiran negeri itu.

Kalau Raja Petra sudah membuat dakwaan, kerajaan negeri kena pandai-pandai jalankan siasatan sama ada betul atau palsu tuduhan itu. Itu tugas kerajaan negeri, bukan main lepas begitu saja.

Raja Petra juga mendedahkan bahawa Anwar hanya sibuk ke luar negara memberi ceramah dan mempromosikan kehebatan dirinya daripada merancang pembangunan Selangor selaku penasihat ekonominya.

Hakikatnya, kata-kata berterus terang Raja Petra itu sedikit sebanyak menggugat pengaruh pakatan pembangkang. Sebab itu sudah kedengaran suara beberapa pemimpin pakatan yang menuduh Raja Petra telah 'dibeli' oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan maruah Anwar.

Akan ada yang mengutuknya kerana konon beliau berpaling tadah. Barangkali Raja Petra sudah bosan dengan wayang lakonan Anwar. Memang PKR cepat melatah dan tuduh angkara musuh politik. Sedangkan banyak pembongkaran dilakukan bekas orang rakannya sendiri.

Rakyat kini sudah buka mata dan telinga. Jika Raja Petra tidak cakap pun tentang 'tembelang' Anwar, orang ramai pun sudah tahu. Jadi ia bukan isu lagi.

Daripada kenyataan Raja Petra dalam wawancara tersebut, kita boleh rangkumkan bahawa pihak yang menyokong Anwar dalam Kempen Bebaskan Anwar 901 boleh disamakan dengan menyokong seorang gay sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

Seorang gay tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bukan sahaja Malaysia, negara Islam lain pun tak terima pengamal gay jadi pemimpin mereka. Bukan Raja Petra sahaja malah ramai lagi yang dapat rasakan Anwar bukan lagi pilihan rakyat. Anwar telah menunjukkan banyak kesilapan atas tindakannya sendiri sehingga membuatkan rakyat semakin menolak beliau.

Tetapi kerana hasutan Anwar masih kuat, beberapa kerat mahasiswa turun berdemonstrasi di PWTC dan UPSI baru-baru ini. Anwar menghasut anak-anak muda di universiti untuk menentang pihak berkuasa dan merusuh di jalanan.

Berdasarkan wawancara itu juga, Raja Petra telah menyedarkan kita bahawa Anwar bukan pemimpin rakyat. Lihatlah dalam setahun beliau terbang kira-kira 60 kali ke luar negara - ia lebih banyak daripada mana-mana ketua negara.

Oleh itu, jika kita mahu berjuang maka berjuanglah untuk keadilan dan kebaikan orang ramai, bukan memenuhi tuntutan impian terpendam seorang manusia yang ingin sangat menjadi Perdana Menteri Malaysia.

No comments:

Post a Comment