Thursday, June 23, 2011

surat khabar cina

ISU-ISU AKHBAR CINA

DR. MAHATHIR DAN MUKHRIZ KRITIK PAS

AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 19 Jun 2011 menyiarkan artikel tulisan pengkritik semasa, Loh Hon Chew mengenai komen yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz terhadap Pas.

Artikel bertajuk ‘Tun Mahathir anak-beranak mengkritik Pas’ itu tersiar dalam ruangan Pendapat Yuanlun pada halaman A16 akhbar berkenaan.

Menurut penulis, Dr. Mahathir dan Mukhriz merasa tidak selesa dengan keputusan Pas baru-baru ini untuk meninggalkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan.

Dr. Mahathir berkata, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menentang negara Islam telah menang besar kerana puak yang memperjuangkan perkara itu dalam Pas telah dipaksa melepaskan kuasa semasa pemilihan pada muktamar tahunan parti itu yang ke-57.

Mukhriz yang turut memberikan komen, menyifatkan kemenangan golongan pro- Anwar adalah tidak baik kepada perbincangan kerjasama antara UMNO dan Pas serta tidak bagus untuk perpaduan orang Melayu.

Kata-kata Dr. Mahathir itu, jelas menunjukkan beliau sangat geram dan tidak boleh menerima hakikat bahawa Karpal mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam Pas.

Dalam reaksi balasnya, Karpal berkata, beliau langsung tiada pengaruh dalam Pas. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut menuduh bekas Perdana Menteri itu sengaja membuat dakwaan berkenaan bagi mewujudkan pergeseran antara kedua-dua parti.

Sebenarnya, bukan Karpal dan pemimpin DAP sahaja yang membantah penubuhan negara Islam. Jika kita bertanya orang Cina, daripada 10 orang yang ditanya, sekurang-kurangnya sembilan orang akan menyatakan bantahan terhadap langkah itu.

Mereka bukan sahaja membantah negara Islam, malah tidak bersetuju dengan penubuhan negara Buddha dan Kristian. Sebab itu, seluruh masyarakat Cina menyatakan bantahan selepas Dr. Mahathir menyebut ‘‘kita sudah pun menjadi negara Islam’’ selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan 2001.

Hanya Presiden Gerakan ketika itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik seorang sahaja yang bersetuju dengan kata-kata beliau manakala Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik cuba mengelak daripada menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Dr. Mahathir.

Sehingga sekarang, MCA dan Gerakan membantah penubuhan negara Islam manakala UMNO pula mengambil sikap berbelah- bahagi dalam isu berkenaan. Langkah UMNO yang menyatakan Malaysia kini adalah negara Islam dan tidak menentang secara terbuka cadangan penubuhan negara Islam ala-Pas merupakan taktik politik. Tujuannya adalah bagi menarik pengundi beragama Islam.

Pada masa sama, perubahan yang dibuat Pas juga adalah strategi politik. Parti itu memahami bahawa isu negara Islam tidak boleh lagi menarik minat pengundi, kerana keburukannya lebih besar daripada kebaikan.

Pas meninggalkan perjuangan negara Islam kerana mahu terus hidup. Ia tiada kaitan langsung dengan Karpal, jadi kita tidak perlu mengagung-agungkan Pengerusi DAP itu.

Dalam pada itu, kenyataan Mukhriz bahawa kemenangan golongan pro-Anwar yang menyokong negara berkebajikan adalah tidak baik untuk perpaduan orang Melayu menunjukkan beliau masih mempunyai fahaman perkauman.

Adalah melucukan apabila beliau menganggap cadangan penubuhan negara Islam akan mendatangkan kebaikan kepada perpaduan orang-orang Melayu.

Semua orang Melayu memang beragama Islam. Ini tidak boleh dipertikaikan lagi, tetapi orang Islam tidak semestinya daripada kalangan kaum Melayu sahaja.

Di seluruh dunia ada ramai orang Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Bilangan orang Islam di China lebih ramai daripada jumlah penduduk Malaysia. Orang berkulit putih di Amerika Syarikat dan Eropah juga ada yang beragama Islam.

Oleh itu, mengaitkan Islam dengan perpaduan Melayu adalah salah kerana mana- mana kaum tidak akan bersatu semata-mata kerana ia menganut agama sama.

Rakyat Pakistan misalnya, mereka membunuh orang Pakistan lain yang seagama untuk membalas dendam. Ini jelas menunjukkan agama tidak membawa kepada perpaduan.

Pendapat Mukhriz yang mengaitkan agama dengan perpaduan adalah kesilapan besar. Pemikiran seperti itu adalah lebih mundur berbanding fahaman perwakilan Pas ketika muktamar parti itu, baru-baru ini.

Pendirian kepimpinan baru Pas untuk tidak lagi memperjuangkan negara Islam telah menyatukan rakyat yang berlainan agama. Ia tidak seperti Mukhriz yang mempolitikkan agama dan hanya mencari perpaduan untuk satu kaum sahaja.

PERSAMAAN DUA PERHIMPUNAN BERSIH

Akhbar Sin Chew Daily bertarikh 20 Jun 2011 dalam ruangan Sudut Pendapat menyiarkan artikel mengenai cadangan mengadakan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara pada 9 Julai ini.

Artikel bertajuk ‘Mari kita semua buat sama-sama’ yang ditulis Timbalan Pengarang akhbar berkenaan, Tay Ting Hien disiarkan di halaman 26.

Menurut penulis, tiga kumpulan besar dijangka akan berarak menuju ke Istana Negara ketika perhimpunan berkenaan. Jika dihimbau kembali perarakan Bersih yang pertama kali diadakan tiga tahun lalu, kedua-duanya mempunyai persamaan berdasarkan situasi politik semasa dan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat.

Pada penghujung 2007, tekanan inflasi telah menimbulkan ketegangan dan perasaan tidak puas hati orang ramai. Kebetulan ketika itu sudah hampir dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pihak pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menentang kerajaan dapat menghidu peluang-peluang itu dan mereka melancarkan perhimpunan Bersih secara besar-besaran pada 10 November 2007.

Mereka menggunakan isu ‘bersih dan adil dalam pilihan raya’ kerana ia dianggap sesuai dengan keadaan ketika itu. Matlamat sebenar pihak pembangkang dan NGO berkenaan adalah untuk mencetuskan gelombang besar rakyat supaya menentang kerajaan.

Ketika itu, kita lihat pihak pembangkang terutamanya Pas telah mengerahkan ramai ahli untuk berhimpun. Walaupun, pihak polis telah bersiap-sedia, ia tidak dapat menghalang puluhan ribu manusia yang membanjiri Kuala Lumpur.

Perancangan pihak penganjur perarakan itu amat bijak dan luar biasa. Mereka boleh mengatur perhimpunan dan bersurai secara pantas. Apabila dihalang oleh pihak polis mereka akan berpecah dan bersurai. Jika mendapat ruang dan peluang, mereka akan segera berhimpun semula sambil melangkah maju ke Istana Negara.

Ini menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa bertungkus-lumus untuk mengawal keadaan sehingga mereka keletihan. Pada masa itu, gas pemedih mata dan pancutan air sudah tidak lagi berfungsi untuk meleraikan perarakan itu.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga merasa marah dan bingung dengan perhimpunan berkenaan. Bagaimanapun, beliau tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyuraikannya.

Perhimpunan itu sebenarnya telah berjaya dan ia menjadi asas kepada bermulanya penyatuan tiga parti pembangkang sehingga berlakunya tsunami politik pada PRU 2008.

Dalam pada itu, perhimpunan Bersih terbaru adalah bagi mengambil kesempatan isu kenaikan harga barangan. Berikutan PRU Ke-13 semakin hampir, pihak pembangkang mahu menyemarakkan keadaan sehingga pilihan raya diadakan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini dalam keadaan serba-salah, tertekan dan bengang. Ia berbelah-bahagi sama ada mahu memenuhi tuntutan pihak pembangkang atau bertindak menghalang perhimpunan berkenaan. Jika berlaku kekerasan ketika menyuraikan perarakan itu, ia akan menyebabkan orang ramai bersimpati dengan pihak pembangkang.

Oleh itu, hanya ada satu jalan sahaja yang boleh dilakukan oleh kerajaan iaitu dengan membiarkan Pergerakan Pemuda UMNO mengambil bahagian dalam gelombang bantahan berkenaan.

Tujuan Pemuda UMNO bukan mahu menyertai perhimpunan Bersih secara langsung, sebaliknya seperti yang dinyata oleh Ketuanya, Khairy Jamaluddin, adalah bagi mempertahankan sistem demokrasi sedia ada dan mendesak diadakan penambahbaikan terhadap proses pilihan raya di negara ini.

Pemuda UMNO mahu mencelah dalam perhimpunan Bersih bagi mengurangkan kekuatannya dan untuk memastikan rakyat tidak melihatnya sebagai perarakan yang disertai pihak pembangkang semata-mata.

Khairy sedar jika perhimpunan Bersih berjaya, ia akan memberi kekuatan luar biasa kepada pihak pembangkang. Pada masa sama, jika kerajaan BN terus memberi tekanan dan menentang bantahan itu, ia akan kehilangan sokongan rakyat.

Jika strategi Pemuda UMNO itu berjaya, ia akan membolehkan Khairy kembali menonjol dalam politik.

Bagaimanakah kita dapat menentukan siapa yang menang dan kalah? Yang menang sudah pasti kumpulan yang paling ramai dalam perhimpunan berkenaan. Harap-harap perarakan ini dapat diadakan dengan baik dan jangan ada pihak yang hilang kawalan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Orang Melayu jadi taruhan

No comments:

Post a Comment