Tolak kelompok main isu perkauman, agama
SUDAH banyak kali ingatan, amaran serta penegasan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin lain berhubung permainan isu perkauman dan agama yang dijadikan modal kelompok-kelompok tertentu dalam menarik sokongan rakyat.
Betapa berbahayanya, kelompok-kelompok ini bertindak semata-mata atas perhitungan untuk kepentingan kumpulan mereka tanpa sedar atau tidak sedar, perbuatan membangkitkan isu-isu sensitif ini memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
Demi keuntungan politik, kelompok-kelompok yang bukannya buta sejarah dan juga terdiri di kalangan orang yang terpelajar ini mengheret rakyat turut sama ke kancah politik sempit sebegini yang akhirnya menyaksikan dalam negara yang kecil ini, rakyat pelbagai kaum yang tinggal di dalamnya bertelingkah.
Kelompok yang mahu digelar jaguh dalam isu-isu yang melibatkan kaum tanpa memikirkan kesannya kepada negara ini sebenarnya sedang memperjudikan untung nasib generasi akan datang.
Sekiranya isu ini terus dimainkan, Malaysia akan diwariskan kepada generasi yang pastinya berpecah-belah oleh kerana tidak habis-habis berbalah dan mempertikaikan isu-isu membabitkan perkauman dan agama.
Justeru Perdana Menteri, dalam ucapannya pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena hari keputeraan baginda di Istana Negara, kelmarin, sekali lagi mengulangi ingatan yang sama berhubung pendirian kerajaan dalam perkara ini.
Tiada kompromi bagi kelompok-kelompok yang memainkan isu perkauman dan agama. Sekiranya berbuat demikian, tindakan tegas akan dikenakan, suka atau tidak, langkah pencegahan dan pembetulan perlu diambil.
Memang benar, dengan hanya menutup sebelah mata sambil mengharapkan perpaduan terus mekar subur di negara ini tanpa peranan pro aktif daripada kerajaan beserta pemimpin-pemimpin masyarakat daripada semua kaum hanya akan menjanjikan sebuah tragedi.
Memang diakui bukan mudah untuk rakyat berbilang bangsa dan agama mendiami sesebuah negara dan berkongsi semuanya.
Tetapi sebenarnya rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kepelbagaian itu bukan penghalang dan Malaysia selama ini aman tanpa berlakunya rusuhan kaum yang besar-besar.
Maka keadaan itu perlu dikekalkan. Dan kelompok-kelompok yang gemar memainkan isu-isu ini jangan cuba menangguk di air keruh, kerana akhirnya nanti yang kalah akan menjadi abu dan yang menang jadi arang.
Kita seharusnya belajar, daripada kejatuhan negara-negara lain. Belajar bagaimana Islam jatuh dan mengapa negara-negara Islam tidak bersatu, dan akhirnya siapa yang dapat labanya.
No comments:
Post a Comment