Survivor orang Melayu. Mimbar politik orang Melayu.Jatuh bangun orang Melayu.Suara hati orang Melayu.Mana benar mana salah, mana intan mana kaca...Lu fikir lah sendiri!!!
Saturday, June 4, 2011
Pembunuh Orang Islam Tertangkap
Akhirnya Mladic tersungkur
Susunan Nurul Anuar Kari
pengarang@utusan.com.my
RATKO Mladic (kiri) minum bersama tentera Belanda, Kolonel Ton Karremans (dua dari kanan) di sebuah perkampungan di Potocari dalam foto bertarikh 12 Julai 1995 ini. Mladic merupakan ketua tentera utama dalam Perang Bosnia antara 1992 hingga 1995 yang mengorbankan lebih 100,000 nyawa. - AP
BEKAS Komander Tentera Bosnia Serb, Ratko Mladic, 69, akhirnya ditangkap pada 26 Mei lalu selepas hampir 20 tahun perang Bosnia tercetus.
Serbuan dan tangkapan sebelum Subuh itu disertai lebih 20 anggota polis khas yang lengkap bertopeng ketika Mladic ingin keluar ke kebunnya di sebuah perkampungan kecil Serbia di Lazarevo.
Rumah berdindingkan batu-bata kuning yang didiaminya itu merupakan satu daripada empat kediaman yang diserbu serentak pihak berkuasa pada pagi Khamis dalam operasi yang telah berulang kali dijalankan di seluruh Serbia sejak hampir 10 tahun Mladic menghilangkan diri.
Mladic menghilangkan diri sekitar 2002 selepas tujuh tahun Mahkamah Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan pendakwaan penghapusan etnik, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang terhadapnya pada 1995.
Menurut sumber polis Serbia, Mladic tidak melawan ketika ditahan dan menyerahkan dua pucuk pistol yang dibawanya secara sukarela.
Selepas ditahan, mahkamah Serbia telah mengeluarkan arahan ekstradisi untuknya ke tribunal di the Hague yang mungkin menyaksikan pemindahannya seawal Isnin ini dan kebarangkalian didakwa serentak bersama bekas pemimpin politik, Radovan Karadzic.
Keputusan itu bagaimanapun dibantah peguamnya yang mendakwa Mladic terlalu lemah untuk dipindahkan kerana pernah mengalami dua serangan strok sejak 16 tahun lalu dengan sebelah tangan separa lumpuh dan kesukaran bertutur.
Namun, ketika dalam penjara, Mladic dilaporkan sempat berkata, rakyat Serbia juga patut menanggung sama kesalahan Perang Balkan itu kerana menyokong mendiang Presiden Slobodan Milosevic.
"Saya tidak mengundi Milosevic, kamu (rakyat Serbia) yang undi," katanya.
Mladic dikatakan menyalahkan semua rakyat Serbia yang menyokong mendiang Milosevic ketika peristiwa berdarah perpecahan Yugoslavia di awal tahun 1990-an.
Milosevic yang meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun lalu merupakan antara beberapa pemimpin Serbia yang didakwa tetapi akhirnya mati mengejut dalam perbicaraan di the Hague.
Sementara menunggu proses ekstradisi, Mladic turut mengemukakan permohonan untuk melawat kubur anak perempuannya, Ana, yang membunuh diri pada 1994, dipercayai menggunakan pistol bapanya sendiri.
Mladic merupakan ketua tentera utama dalam perang Bosnia antara 1992 hingga 1995 yang mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menjadikan sekitar 1.8 juta penduduk sebagai pelarian di seluruh dunia.
Gerakan kerajaan Serbia ketika itu yang mahu membersihkan rantau itu daripada keturunan bukan Serbia mengorbankan beribu-ribu orang Islam dan juga Croatia.
Penahanan Mladic itu kini dilaungkan kerajaan Serbia sebagai satu kemenangan besar yang melayakkan pencalonan kemasukan mereka ke dalam Kesatuan Eropah (EU) menjelang penghujung tahun ini.
Perubahan taktik yang membawa kepada penangkapan bekas komander tentera itu dikaitkan dengan peluang penyertaan Serbia ke dalam EU yang semakin pudar kerana dilihat lambat membuat perubahan dasar terutamanya dalam menangkap penjenayah perang seperti Mladic.
Ketua Polis Serbia, Ivica Dacic sendiri sebelum menyatakan peralihan kepimpinan jabatan polis telah menambah 50 peratus bilangan anggota yang ditugaskan menangkap Mladic.
"Mladic sebenarnya tiada rangkaian sokongan yang besar termasuk sumber kewangan. Khabar angin mengenai semua ini terbukti tidak benar," jelas Dacic.
Sebelum menghilangkan diri pada 2002, Mladic sering dilihat ke perlawanan bola sepak, makan di restoran mewah dan kafe elit.
Malang baginya, selepas dua tahun hidup dalam bayangan, Mladic mula dilihat memandu kenderaan usang dan tanpa perlindungan pegawai keselamatan seperti sebelum kebiasaannya ketika memegang kuasa tentera.
Pihak polis mendapat maklumat Mladic berpindah ke perkampungan kecil itu kira-kira dua tahun lalu kerana dia beranggapan selamat jika tinggal bersama saudara-mara di situ.
Berbeza dengan rupanya yang sasa dahulu, Mladic yang kini dalam tahanan kelihatan cengkung dengan badan yang sudah mengecut serta semakin botak selepas lebih sedekad bersembunyi.
Walaupun kini kelihatan seperti seorang lelaki tua yang rapuh, mangsa peperangan Bosnia yang ditemui media masih beranggapan mata Mladic masih menunjukkan seorang lelaki yang gilakan darah dan dia tidak sepatutnya digelar sebagai seorang manusia.
Dengan penahanan Mladic juga, perhatian kini beralih kepada individu terakhir yang masih gagal ditangkap atas dakwaan jenayah perang di Bosnia iaitu bekas ketua pemberontak Serbia Croatia, Goran Hadzic.
Walaupun dianggap watak kecil dalam Perang Balkan itu, Hadzic, 52, merupakan pelarian terakhir daripada 161 individu yang didakwa oleh the Hague di atas penglibatannya dalam perang Croatia 1991 hingga 1995. - AGENSI
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment