Berarak beramai-ramai boleh mengundang kekecohan
TANPA mempedulikan amaran Menteri Dalam Negeri akan kesan perhimpunan haram anjuran Bersih seperti pada masa lalu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan dan pemimpin Pas tetap mahu meneruskan satu lagi perhimpunan pada 9 Julai depan di Kuala Lumpur.
Penganjur perhimpunan itu maklum akan akibat huru-hara yang bakal tercetus apabila berlaku pertembungan antara kumpulan penyokong dan penentang demonstrasi jalanan tersebut kelak.
Menggunakan hujah bahawa perhimpunan itu bertujuan untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil, ia adalah aktiviti normal pihak pembangkang dan ini adalah negara demokratik, bukanlah alasan kukuh.
Setiap rakyat Malaysia yang lain juga mempunyai hak mereka untuk menjalani kehidupan harian tanpa diganggu gugat oleh penunjuk perasaan seperti anggota Bersih. Pemandu-pemandu teksi dan syarikat bas sudah menyatakan rasa kurang senang mereka, begitu juga peniaga dan pekerja di sekitar ibu kota.
Siapa yang sebenar menuntut diadakan perhimpunan haram ini jika bukan parti politik pembangkang dan pemimpin badan bukan kerajaan yang pro pembangkang!
Biasalah pihak pembangkang sentiasa rasa tidak puas hati pelaksanaan pilihan raya, tidak gembira tentang rasuah dan institusi-institusi yang tidak bebas. Semua ini adalah alasan lapuk yang diulang-ulang kerana rakyat kembali memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Kita tidak setuju istilah "himpunan aman rakyat" diguna sebagai tema kerana tidak ada satu pun perhimpunan haram anjuran NGO dan parti pembangkang berakhir dengan aman. Jadi, usah gunakan nama rakyat untuk menghalalkan tindakan yang menjejaskan rakyat.
Memang dalam Perlembagaan negara membenarkan rakyat untuk berhimpun dan bersuara bagi menyatakan sesuatu bantahan. Tetapi gunalah saluran yang betul untuk mengemukakan bantahan.
Semasa sidang Parlimen diadakan, banyak masa terbuang kerana isu-isu yang hendak dibangkitkan tidak dikemukakan oleh pihak pembangkang sebaliknya memainkan isu remeh-temeh dan membuat kecoh.
Jika hendak menyatakan bantahan juga tidak perlu memanggil rakyat berhimpun di ibu kota yang kesan akhirnya kesesakan lalu lintas dan menghalang urusan pihak lain.
Penganjur perhimpunan ini harus ingat, tindakan berarak beramai-ramai bukan boleh menyelesaikan masalah sebaliknya mereka boleh menimbulkan kekecohan dan suasana tidak tenteram kepada negara.
Tambah-tambah lagi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut memberi amaran tidak menolak akan mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dan bersedia menghadapi segala kemungkinan. Sebaik-baiknya demi negara dan kesejahteraan rakyat, semua pihak patut membatalkan niat mengadakan perhimpunan di ibu kota pada 9 Julai ini.
Sebenarnya kita faham ada usaha untuk menaikkan semangat rakyat supaya membenci pemimpin kerajaan melalui tindakan demonstrasi seperti yang berlaku di negara-negara Arab sekarang. Mereka mahu berlaku rusuhan, dan apabila ada perkara yang tidak diingini berlaku, mereka akan salahkan kerajaan. Ada baiknya kerajaan cegah lebih awal sebelum ia berlaku.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment