Wednesday, June 29, 2011

Mau Kominis

Lupakah kekejaman komunis?

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor

Cukup melampau. Apa nak jadi dengan rakyat terutamanya segelintir ahli politik negara ini? Itulah ungkapan yang keluar dari mulut majoriti rakyat Malaysia apabila membaca laporan adanya usaha untuk menghidupkan kembali unsur komunis di negara kita.

Penahanan 31 orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang bersama-sama dengan 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto Che Guevara atau dikenali sebagai El Che menceritakan segala-galanya.

Apakah golongan ini sedar dengan apa yang cuba mereka lakukan? Kita percaya mereka cukup sedar kerana majoriti peserta yang terlibat dalam isu ini adalah orang dewasa yang matang dan tahu baik buruknya sesuatu tindakan.

Ini menyebabkan sukar untuk kita percaya bahawa masih terdapat rakyat kita yang mahukan puak komunis menguasai negara ini setelah apa yang pernah rakyat dan negara ini alami semasa zaman komunis dahulu. Apakah mereka lupa segala kekejaman komunis terhadap rakyat kita? Kenapa begitu mudah dan cepat golongan ini lupa tentang sejarah tersebut? Atau mereka memang sengaja tidak mahu mengambil tahu sejarah terbabit?

Bagi rakyat yang waras, terutamanya bagi mereka yang pernah melalui detik-detik hitam semasa zaman komunis dahulu, pastinya akan marah dan melenting dengan tindakan kumpulan ini. Kita tidak dapat bayangkan perasaan kecewa dan marah para perajurit kita yang pernah menentang komunis yang masih bersama dengan kita. Malah bagi kita yang tidak pernah merasai detik hitam itu pun rasa cukup takut, ngeri dan marah apabila membacanya dalam buku-buku sejarah.

Justeru, hanya manusia yang hilang kewarasan mahukan zaman komunis berulang kembali. Janganlah hanya kerana mengejar kuasa politik dan ingin memenuhi tuntutan pihak-pihak tertentu kita sanggup menggadai keselamatan dan ketenteraman awam secara keseluruhannya.

Mana ada negara yang aman dan damai di bawah komunis? Mana ada rakyat yang hidup selesa dan seronok di bawah komunis? Bukalah mata hati dan gunakanlah akal fikiran yang ada untuk menilai dan berfikir dengan sebaik yang mungkin sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Ingat, sesal dahulu ada pendapatan. Jangan kita umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar. Malah dalam hal ini bukan setakat kelambu tetapi tindak tanduk kumpulan ini seolah-olah membakar seluruh rumah terbabit.

Kami rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, perpaduan dan keselamatan negara ini menentang sekeras-kerasnya tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini. Kami mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan keras yang sewajarnya termasuk mempertimbangkan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika perlu.

Tolong jangan hancurkan negara kami. Kalau mahukan pemerintahan komunis, tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat dalam pergerakan ini dialu-alukan untuk berpindah ke negara komunis yang anda minati. Kami benci komunis!
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment