Thursday, June 2, 2011

PKR Pun Salahguna L esen

Siasat salah guna lesen kelas F

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa menyiasat dan memberi gambaran jelas berhubung isu penyalahgunaan lesen kontraktor kelas F bumiputera oleh kepimpinan DAP yang didedahkan dalam inkues Suruhanjaya Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Tan Sri Rozali Ismail berkata, siasatan dan laporan itu perlu menjawab beberapa persoalan iaitu bagaimana perkara itu boleh berlaku dan tahap ketelusan prosedur kerajaan negeri sehingga lesen bumiputera boleh dimanipulasi.

"Dua kontraktor yang memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu telah mengesahkan syarikat terlibat menggunakan lesen kelas F bumiputera untuk mendapatkan projek majlis perbandaran melalui peruntukan wakil rakyat DAP.

"Jika ini diakui oleh kontraktor berkenaan dan sehingga kini keterangan mereka tidak dicabar kesahihannya oleh kepimpinan DAP Selangor, maka adalah jelas wujud pencabulan hak dan eksploitasi kontrak yang sepatutnya dikhaskan untuk bumiputera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yang selalu ghairah mengeluarkan laporan mengenai tuduhan salah laku harus berani mendedahkan hasil siasatan isu itu supaya rakyat mengetahui bagaimana usahawan bumiputera di Selangor dibantu.

Katanya, Kerajaan PKR Selangor perlu adil dalam pengagihan projek-projek kecil dan tidak membiarkan DAP menyalahgunakan lesen syarikat kontraktor bumiputera kelas F untuk mendapatkannya di bawah peruntukan wakil rakyat Selangor.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin Selangor supaya tidak mengikut telunjuk rakan-rakan dalam pembangkang terutama DAP bagi kepentingan peribadi.

"Sewajarnya kerajaan negeri menilai isu berkenaan daripada aspek penyalahgunaan kuasa, eksploitasi dasar perolehan kerajaan khusus kepada bumiputera serta amalan ali baba oleh kepimpinan DAP Selangor," katanya.

Katanya, DPMMS mengesyorkan supaya Kerajaan PKR Selangor memperbaiki kaedah pengagihan projek untuk bumiputera agar lebih telus dan efektif.

Menurut beliau, jika kerajaan negeri gagal menjawab dan menyelesaikan isu itu sehingga memuaskan hati usahawan dan kontraktor di Selangor, maka benarlah kenyataan DPMMS sebelum ini bahawa Selangor tiada kaedah dan program membangunkan usahawan bumiputera secara mapan.

No comments:

Post a Comment