Thursday, June 2, 2011

Melayu Rugi

Perpecahan orang Melayu rugikan bangsa, agama dan negara

AZMI ABDUL MALEK

SARANAN Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar seluruh pemimpin dan ahli peringkat bahagian supaya melupakan soal pemilihan jawatan ataupun siapa yang akan terpilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan tidak wujud perpecahan di dalam parti patut diambil perhatian serius.

Memang benar perpecahan orang Melayu dalam dan luar UMNO merugikan bangsa, agama dan negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sering mengingatkan orang Melayu supaya bersatu dan perkukuhkan perpaduan mereka jika mahu terus memimpin negara tercinta.

Orang lain mudah menggugat kedudukan politik dan kuasa orang Melayu apabila mereka sendiri didapati berpecah belah berikutan tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya.

Nasihat itu tidak terbatas kepada pemimpin UMNO peringkat bahagian, malah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan kepemimpinan kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Menteri dan Timbalan Menteri Melayu mestilah sanggup memberi laluan kepada calon baru jika mereka juga tidak terpilih sebagai calon sekali lagi dalam pilihan raya akan datang.

Ingatlah, kita bukan sentiasa hebat sebagai pemimpin dan apabila tiba masanya kita menjadi lemah kerana faktor usia dan kesihatan.

Dalam zaman moden mencabar ini, kita memerlukan wakil rakyat yang mempunyai pemikiran strategik dan mampu berfikir secara luar biasa membangunkan negara.

Rakyat yang sentiasa berusaha mencapai matlamat berpendapatan tinggi dan bertransformasi tidak mahu lagi mempunyai wakil rakyat sudah keletihan dan bermasalah menerajui kepemimpinan negara.

Oleh itu, mereka yang berhasrat menjadi calon atau mahu meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat perlu berfikir secara rasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti memerlukan pasukan pemimpin yang faham tentang aspirasi rakyat masa kini.

Cara hidup lama dan kaedah baru bekerja menjadi keutamaan masyarakat masa kini dan bukan kerana mereka yang popular semata-mata.

Pemimpin UMNO yang hebat di peringkat bahagian tidak semestinya diterima orang Melayu yang bukan ahli parti berkenaan.

Orang Melayu terutama berpendidikan tinggi mempunyai kehendak dan harapan terlalu tinggi kepada kerajaan memerintah.

Mereka sanggup pilih calon pembangkang sekadar melepaskan geram sekiranya calon Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO tidak dapat memenuhi cita rasa mereka dan ini terbukti dalam pilihan raya umum lalu.

Sejarah membuktikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, ramai golongan muda dan baru mula mengundi memberi undi kepada calon parti bukan BN sehingga beberapa calon BN tewas dan membuka peluang calon parti lain menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan walaupun Terengganu berpihak semula kepada kerajaan negeri BN.

Sehubungan itu, nasihat Mahathir, Najib, Muhyiddin dan Ahmad Zahid supaya Melayu bersatu untuk mengekalkan kuasa pemerintahan sentiasa relevan kepada semua orang Melayu di negara ini tidak kira mereka itu ahli UMNO atau sebaliknya.

Ingatlah pesan orang tua-tua dahulu, jangan kerana seekor nyamuk kelambu dibakar dan jangan mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment