Jika orang UMNO atau BN, bagaimana?
AQIEL ZAFRAN
Bandar Baru Bangi
PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menolak penggunaan video sebagai bahan bukti dalam kes zina dan liwat dengan alasan video tidak boleh menjadi saksi kerana tiada mata dan telinga. Tambahnya, kita perlu berpegang kepada konsep empat saksi yang adil dalam kes zina dan liwat.
Sejak sekian lama beliau tidak pernah pula mengulas, malah mungkin juga menyokong terhadap penggunaan pelbagai bukti teknologi bagi menyelesaikan kes jenayah di negara ini.
Mungkin juga beliau pernah gembira apabila kes pembunuhan tertentu yang akhirnya pembunuh dapat ditangkap melalui proses kenal pasti oleh rakaman video CCTV. Malah, tiada siapa pun menentang termasuk ustaz Pas apabila CCTV digunakan dalam penyiasatan polis. Amat menghairankan sekali hari ini beliau menolak peranan video sebagai bahan bukti.
Jika begitu, saya mencabar negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang agar menghentikan penggunaan CCTV bagi tujuan keselamatan. Hentikan juga menangkap dan mendakwa suspek rogol, zina dan mencuri jika pelapornya tidak menampilkan empat orang saksi yang adil. Jangan dilayan desakan tangis wanita yang mendakwa dia diperkosa di dalam semak, rumah kosong atau di hotel kerana di tempat demikian tidak mungkin ada empat saksi. Sahutlah cabaran ini wahai Abdul Hadi?
Jelas sekali ulama dan ustaz Pas kini tidak lagi konsisten dalam menegakkan keadilan. Bagi mereka, penggunaan video sebagai bahan bukti hanya disokong jika ia melibatkan kes pemimpin BN atau orang awam.
Siasatlah dengan apa jua cara sekalipun (termasuk penggunaan video) jika pesalah itu 'orang BN', tetapi jangan sesekali siasat jika pesalah itu 'orang mereka'. Justeru, layakkah mereka ini digelar ustaz untuk umat Islam?
Dengan nama Tuhan Yang Maha Mengetahui, saya menyeru seluruh umat Islam yang pandai berfikir agar menolak Pas dan pakatannya kerana mereka ini nyata sedang menyesatkan kita. Segala hukum Islam, dosa, pahala, syurga dan neraka bukan berlandaskan ketetapan Islam, sebaliknya berdasarkan kuasa dan politik. Tidak mungkin keadilan dapat dicapai jika jumudnya pendirian Abdul Hadi Awang.
No comments:
Post a Comment