Cerita IPTS dengan pelajar asing
NEGARA kita memang unik. Selain kita ada pelbagai kaum, budaya, makanan dan sebagainya, kini Malaysia juga ada wajah-wajah dari seluruh dunia.
Tak payah ke daerah pedalaman China untuk melihat raut wajah 'amoi' yang putih gebu. Tak perlu beli tiket kapal terbang ke Mumbai, India kalau nak berjumpa pria ala-ala hero Bollywood. Begitu juga, tak usah susah-susah ke Afrika kalau nak lihat bagaimana rupa orang dari benua itu.
Hari-hari kita boleh lihat wanita China di pusat-pusat hiburan dan refleksologi. Tiada hari di seluruh pekan dan bandar kita tanpa kelibat pria Bangladesh dan Pakistan. Paling kita pelik, apa kerja Awang Hitam yang berkeliaran di kawasan perumahan tertentu.
Bagaimana warga asing yang kian berlonggok-longgok ini dapat masuk ke Malaysia. Bukan datang ikut tempoh malah sudah bagaikan jadikan negara kita seperti negara mereka pula. Tak payah tanya mereka bagaimana masuk ke Malaysia. Kita sendiri pun tahu. Selain permintaan guna tenaga pekerja asing untuk membantu segala bentuk ekonomi negara, kita juga mengalu-alukan pelancong dan pelajar asing.
Masalah berkaitan dengan warga asing nampaknya tidak ada episod akhir. Ceritanya akan terus bersambung. Skrip, plot dan pelakon utama dan pelakon tambahannya pun hampir sama.
Selepas riuh seketika kebanjiran pekerja asing tanpa izin dan kegemparan penyalahgunaan visa pelancong, putaran cerita kembali kepada pas pelajar asing.
Adakah kita terkejut dengan laporan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyenaraihitamkan lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing.
Cuba kita menegur warga asing di mana-mana kompleks beli-belah, kalau dia tak mengaku sebagai pekerja, dia akan kata pelajar kolej swasta. Tak kiralah yang berkulit putih, kuning, cokelat ataupun hitam, ada kalangan mereka memiliki pas pelajar.
Semua ini berlaku sebab salah kita juga. Ada IPTS bukan benar-benar mahu tarik pelajar asing menuntut ilmu di negara kita. Entahlah ada sindiket atau tidak dalam kemasukan warga asing sebagai pelajar.
Kalau kita nafikan tidak ada sindiket, macam mana pula IPTS terbabit boleh memberi maklumat kurang tepat berkaitan diri pelajar asing.
Kalau diteliti kenyataan Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen, Abdul Hamid Ahmad, dalam siasatan unitnya ada IPTS yang mempunyai rekod pendaftaran pelajar asing lebih daripada 1,000 orang, sedangkan premis pengajian hanya mampu memuatkan 80 orang, maka apa motif penerimaan pelajar asing itu?
Pintar sungguh IPTS berkenaan cari duit mudah. Dengan mengimport pelajar asing, IPTS meluaskan skop bisnes melalui pemerdagangan manusia yang menguntungkan. Tak perlu mengajar dan sediakan tempat, daftarkan sahaja sebagai pelajar asing, mereka kaut untung dan biarkan warga asing 'belajar hidup' sendiri di negara ini.
Pihak terbabit pandai-pandai menukar status pas pelajar kepada pas untuk mencari kerja. Melihat perkembangan tidak sihat ini, ada baiknya permohonan kemasukan pelajar asing ke IPTS dikendalikan oleh satu jabatan khas di Kementerian Pengajian Tinggi.
Pastikan yang benar-benar ada kelayakan akademik yang sesuai dibenarkan menyambung pelajaran di IPTS. Kalau terus diberi kepada pihak pengurusan IPTS, cerita ini tidak akan selesai.
No comments:
Post a Comment