Tuesday, June 14, 2011

bersih lg

Perhimpunan Bersih amalan jahiliah

LUKMAN MOIDIN
Kedah Darul Aman

PAKATAN pembangkang semakin teruja menanti tarikh 9 Julai untuk melancarkan satu lagi siri demonstrasi kedua himpunan Bersih yang ternyata bertujuan memperlekeh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mencipta alasan kukuh jika mereka kecundang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebagai bekas penyokong fanatik Pas suatu ketika dahulu dan cenderung menyokong demonstrasi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dipecat, saya ingin mengulas mengenai kaedah demonstrasi yang kini menjadi agenda pembangkang bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Penyokong pakatan pembangkang perlu sedar, ciri-ciri parti mereka begitu sinonim dengan sikap jahiliah dan terpesong dari nilai ajaran Islam. Malah bibit-bibit kehancuran parti pembangkang kian terserlah. Begitu juga pemimpin parti Pas yang kini 'menelanjangkan' parti mereka sendiri dan 'mendedahkan' sikap hipokrit dalam memperdagangkan agama untuk nafsu politik yang rakus.

Satu demi satu kejahilan parti yang kononnya mempertahankan perjuangan Islam semakin terdedah. Isu video yang dikatakan 'besi' sebagai tidak relevan dalam sistem hudud jelas memperlihatkan kedangkalan seorang presiden sebuah parti yang jumud. Beliau terlupa melihat hukuman berdasarkan qazaf dan takzir. Saya masih tertawa hingga ke hari ini mendengar ulasan 'tuan guru' berhubung isu tersebut. Kenyataan ini akan mencemarkan kesucian agama Islam yang Allah SWT ciptakan sebagai agama sepanjang zaman dan kekal relevan dalam apa sahaja suasana.

Isu demonstrasi juga amat jelas memperlihatkan satu lagi kejahilan sebuah parti yang kononnya menjadikan al-Quran dan sunah Nabi SAW sebagai pegangannya tetapi lari dari asas Islam itu sendiri. Hakikatnya mereka yang menjadi pemimpin parti ini telah dibutakan mata hati untuk melihat wahyu Allah dan sabda Nabi SAW sebagai panduan hidup bernegara.

Apakah pemimpin dan penyokong pembangkang sengaja tidak mahu mengkaji sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah benci kepada orang-orang yang keji dan membuat perkara keji dan menjerit-jerit di jalanan." (HR: Ibn Dunya dari Jabir RA)

Apakah penyokong pakatan pembangkang khususnya ahli Pas yang beragama Islam sedar dan sanggup terlibat dalam demonstrasi Bersih yang sememangnya keji dan dibenci agama Islam? Mahukah mereka 'mencipta' sebab yang mewajarkan mereka berada dalam himpunan Bersih yang diasaskan oleh pemimpin parti mereka yang mendakwa memperjuangkan Islam sebagai cara hidup, tetapi berkiblatkan peribadi jahiliah dalam berpolitik.

Mana hilangnya kewibawaan ulama dan ahli agama yang kononnya ramai berada dalam Pas. Jahil sangatkah golongan ini untuk menasihati pemimpin-pemimpin profesional mereka yang bukan berlatar belakang agama untuk berpolitik secara sihat dan berlandaskan syariat Islam.

Ditambah dengan satu lagi sabda Nabi SAW: "Akan muncul tiga perkara buruk apabila dekat kiamat, iaitu masjid lengang, orang berjuang dan berjihad secara menjerit (demonstrasi atau tunjuk perasaan), dan manusia semakin tidak amanah." (HR : At Tabrani)

Jelaslah perjuangan pakatan pembangkang khususnya Pas yang menjadikan Islam sebagai tunggak perjuangannya amat jauh tersasar daripada syariat yang digariskan agama. Jika tindakan yang setaraf jahiliah sudah semakin sebati dengan Pas, maka penyokong fanatik mereka harus disedarkan.

Malah penyokong Pas harus segera insaf dan sedar bahawa tiada ayat al-Quran dan hadis Nabi yang menyebelahi perjuangan parti yang diasaskan atas dasar kebencian terhadap UMNO pada tahun 1951 ini.

Maka selamanya Pas dan pakatan pembangkang akan terus menyemai segala bibit kebencian dengan kaedah 'matlamat menghalalkan cara' sekali pun Islam menegah umatnya melakukan tindakan yang mengundang kerosakan dan huru hara.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

1 comment: