Apa pula ‘idea’ Melayu Pulau Pinang selepas pilihan raya masjid
Oleh Hassan Mohd. Noor
SELEPAS pilihan raya masjid ditangguhkan, adakah Melayu Islam di Pulau Pinang akan ‘terselamat’ daripada tindak-tanduk yang boleh ditafsirkan sebagai ‘gerakan’ untuk memecahbelahkan mereka? Biar apa pun alasan yang diberi mengenai pilihan raya masjid ini, nampaknya ‘suara masjid’ lebih kepada mempertikaikan kaedah itu. Banyak alasan yang diberikan. Kerajaan DAP pula menafikan terlibat dalam usaha memperkenalkan kaedah itu.
Tidak pasti siapa pencetus idea tersebut. Tetapi menurut kenyataan Exco Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang, pada 6 Jun lalu seperti yang dilaporkan Bernama berbunyi begini: Kerajaan negeri pimpinan DAP telah memutuskan kaedah pemilihan Anggota Jawatankuasa (AJK) Kariah Masjid di seluruh negeri menggunakan sistem pengundian dalam kertas undi ala pilihan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim berkata, kaedah pemilihan yang diperkenalkan itu adalah persetujuan bersama dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menerusi perbincangan dan percambahan fikiran dengan pelbagai pihak, kerajaan telah bersetuju dan mahu kaedah pemilihan jawatankuasa kariah yang lebih telus, berbanding dengan tatacara pemilihan sedia ada.
Kaedah pemilihan secara undi itu bertujuan untuk mengembalikan hak anak-anak kariah untuk mencalon dan memilih pemimpin kariah masing-masing kepada MAIPP.”
Kenyataan itu muncul selepas Utusan Malaysia melaporkan mengenai perkara ini dan menimbulkan ‘kemarahan’ kerajaan negeri. Ini bukan kali pertama kerajaan negeri mempertikaikan laporan Utusan Malaysia berkaitan isu-isu yang melibatkan orang Melayu dan masyarakat Islam di negeri itu.
Selaklah kembali laporan sebelum ini sama ada ia ada asas atau tidak atau hanya rekaan. Selaklah punca isu-isu yang dibangkitkan sehingga mendapat perhatian dan menimbulkan keresahan sama ada di pihak kerajaan negeri atau orang Melayu dan Islam Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Dulu, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menggabungkan Gerakan, UMNO, MCA, MIC, isu-isu seperti ini tidak timbul. Kenapa? Adakah kerana ia disebabkan kerajaan BN? Seingat penulis, pemilihan AJK masjid dibuat dengan cara mengangkat tangan. Biasanya diadakan selepas solat Jumaat. Anak-anak kariah yang hadir bolehlah mengundi sementara yang tidak datang ke masjid terimalah keputusan pemilihan.
Dan biasanya mereka yang ‘hampir’ dengan masjid sama ada kerap solat berjemaah, sering menyumbang pelbagai aktiviti sukarela di masjid dan golongan yang dianggap ‘boleh ke depan’ akan dilantik secara angkat tangan.
Tidak ada yang tersembunyi. Tiada undi sulit. Anak-anak kariah boleh melihat calon. Sudah lama kaedah itu digunakan. Tetapi tiba-tiba masuk tahun ketiga dua bulan kerajaan BN bertukar tangan kepada kerajaan DAP-PKR-Pas (3P), keadaan mahu diubah.
Adakah perubahan mengikut masa atau umpama tikus membaiki labu atau kera mendapat bunga? Dalam banyak program yang boleh diatur oleh pihak-pihak berkenaan untuk kepentingan masyarakat Islam, kenapa pilihan raya masjid jadi tumpuan? Cubalah fikirkan sesuatu yang boleh mengimarahkan masjid, menyatukan umat, membela umat Islam yang terpinggir, menyelesaikan masalah perumahan umat Islam, memajukan tanah wakaf yang tidak terurus, tanah kubur yang menjadi mangsa pembangunan. Cerita surau yang uzur atau tidak terurus juga boleh diberi perhatian.
Sekadar selingan, semalam, ketika di Pasir Gudang, Johor, penulis sempat meninjau kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Lihatlah keselesaan ruang solat bertaraf masjid yang turut ada di Terminal Larkin dan Kompleks Membeli-Belah Plaza Kota Raya.
Kembali ke Pulau Pinang. Kenapa masjid yang menjadi tempat berkumpulnya orang Melayu Islam menjadi pilihan untuk mengadakan pilihan raya? Nasib baik Melayu Pulau Pinang tidak bangkit mengadakan perhimpunan besar-besaran seperti cadangan Bersih untuk membantah pilihan raya masjid. Rasanya manisfesto pilihan raya umum (PRU) yang diuar-uarkan sebelum ini hanya menjanjikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tidak pasti pula sama ada kerajaan pakatan 3P telah melaksanakannya. Adakah ahli-ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang ada sekarang dipilih melalui pilihan raya PBT? Rasanya tidak kerana ada ‘halangan’ yang tidak mampu ditembusi oleh kerajaan negeri. Tetapi entah macam mana dalam isu pilihan raya masjid ini, pihak berkenaan berjaya menembusi halangan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam di negeri itu.
Melayu Pulau Pinang! Cukuplah. Melayu terpaksa berpecah mengikut ego politik masing-masing disebabkan PRU. Melalui PRU lalu Melayu Pulau Pinang tidak ke mana, ‘ke atas pun tidak ke bawah pun tidak’.
Bak kata orang di bumi tidak berpijak di langit tidak bergantung. Janganlah merosakkan sesuatu yang sudah diterima baik oleh masyarakat. Pilihan raya masjid sedikit sebanyak akan mewujudkan ketidakharmonian di kalangan anak-anak kariah lebih-lebih lagi apabila tujuan yang bertanding tidak ikhlas sekadar mahu menunjukkan kuasa politik kepartian.
Hanya kerana mewakili parti bergelar Islam, maka ia merasakan dirinya layak untuk menyertai pilihan raya itu. Tidak perlu diceritakan bagaimana kalutnya pilihan raya ini. PRU yang diadakan empat lima tahun sekali atau pilihan raya kecil (PRK) sekali sekala masih menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti politik khususnya gandingan 3P dan Bersih, inikan pula pilihan raya masjid yang tiba-tiba muncul.
Kenapa kelam-kabut sangat mahu mengadakannya? Sudah tersediakah senarai nama anak kariah yang layak mengundi? Pastikah tidak ada pengundi hantu? Menanda kertas undi nak guna celup jari atau pensil? Apa ciri-ciri calon yang layak? Adakah yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid atau sembahyang seminggu sekali boleh turut serta? Macam-macam lagi yang perlu diberi perhatian supaya pilihan raya masjid benar-benar bersih. Kita bimbang ‘kekanda’ Lim Guang Eng iaitu Mohamad Sabu tampil mengetuai masyarakat Islam Pulau Pinang mengadakan perarakan menuntut pilihan raya masjid yang bersih .
Mungkinkah selepas ini, akan ada pula pilihan raya memilih ahli JKKK, PIBG dan macam-macam lagi.
Akhir sekali, sebelum mengakhiri tulisan Selak dari Pasir Gudang ini, selepas menyaksikan separuh akhir Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan semalam, penulis sempat berkunjung ke Pesta Buku Pasir Gudang. Pelbagai buku dijual meliputi bacaan untuk kanak-kanak, buku agama, rujukan pelajar, politik, novel dan sebagainya. Di satu sudut, penulis terpandang buku tulisan Abdul Hadi Awang bertajuk Bagaimana Islam Memerintah Negara.
Mereka yang sudah membacanya sudah tentu tahu isi kandungannya. Sepintas lalu, terdapat 14 bab yang antara tajuknya ialah Antara Politik, Negara dan Agama; Negara Islam; Matlamat Negara Islam dan Ketua Negara Islam. Penulis juga tertarik dengan pendahuluan dan penutup yang diutarakan oleh Abdul Hadi mengenai sistem pemerintahan negara Islam.
Penulis setuju dengan pandangan Abdul Hadi bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, manusia mempunyai tugas yang penting tetapi pada akhir zaman, mereka semakin melupakannya kerana pengaruh musuh-musuh Islam. Tidak perlulah penulis mengulas lanjut isi kandungan buku itu. Mungkin selepas ini akan terbit pula buku Bagaimana Islam Memerintah Negara Berkebajikan.
No comments:
Post a Comment