Tiga pihak bertembung kerana Bersih 2.0
Saranan Salleh
PADA 9 Julai ini kita akan menyaksikan pertembungan antara tiga pihak, penganjur kempen Bersih 2.0, Perkasa, Pemuda UMNO dan Pas.
Walaupun polis tidak akan mengeluarkan permit tetapi pihak penganjur berdegil akan meneruskan tunjuk perasaan ini.
Mereka tergalak oleh kempen Bersih yang dijalankan pada 2007 dulu yang mana pihak pembangkang berjaya menguasai lima negeri dan menambahkan wakil rakyat mereka di Parlimen.
Jadi dengan keadaan begitu tentulah mereka terangsang untuk mengadakan perhimpunan kali kedua ini. Untung-untung mereka sapu negeri selebihnya.
Perhimpunan ini tidak lain dan tidak bukan diadakan kerana kononnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu melakukan reformasi yang mereka kehendaki.
Apakah mereka yang bakal mengikut perhimpunan ini tahu apakah yang dituntut yang tidak diberikan?
Kalau pilihan raya tidak adil macam mana 80 ahli pembangkang bertambah di Parlimen dan ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti M. Kayveas, Koh Tsu Koon sehinggakan S.Samy Vellu sendiri pun kalah.
Rakyat sudah sedia menerima perubahan dan kini mereka telah melihat negeri-negeri yang diperintah pembangkang, bagaimana cara pengurusan mereka.
Ini akan diambil kira oleh rakyat untuk Pilihan Raya Umum Ke-13. Semua orang setuju rakyat bukan bodoh dan boleh diperbodohkan lagi.
Apa saja yang dilakukan oleh kerajaan semuanya pada pihak pembangkang tidak kena. Ramai yang mengatakan ruang siber akan mendatangkan perbezaan kepada cara pemikiran rakyat.
Apakah ini betul disebabkan kita membaca dua tiga kerat yang begitu lantang dalam blog atau tulisan mereka.
Kebanyakan rakyat belum lagi ada akses kepada blog dan ruang siber ini terutama sekali mereka di luar bandar.
Seseorang itu boleh menulis macam-macam sehinggakan rakyat perlu menapis mana yang betul dan mana yang tidak. Bukan semua boleh ditelan saja.
Taktik yang digunakan, apa-apa hal pukul dulu dan tunggu apa jawapan yang diberikan. Kalau boleh fitnah - lakukan fitnah. Jadi sekarang ini orang putih kata “No holds barred”.
Bukan payah nak adakan blog atau Facebook (kecuali Kementerian Pelancongan yang kena belanja banyak).
Jadi mereka yang ada blog atau Facebook ini kita tak tahu dari mana asal usul mereka. Macam penggodam yang kena tangkap di London baru-baru ini baru berumur 19 tahun.
Berbalik cerita Bersih 2.0 ini, baguslah kita akan dipertontonkan dengan empat kumpulan yang tidak mahu berganjak dengan pendirian mereka.
Pelbagai ancaman telah dilaporkan dan kita berharap pihak polis dan tentera dapat mengawal keadaan.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment